KOTA KINABALU: Usaha memperkukuh pembangunan belia Sabah menjadi fokus utama dalam sesi pengenalan dan taklimat rasmi yang diterima Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang baharu, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, hari ini.
Sesi itu memberi penekanan terhadap keperluan penyelarasan lebih strategik bagi memastikan golongan belia negeri ini mendapat sokongan optimum melalui program berkualiti, pembangunan bakat serta peluang ekonomi yang lebih luas.
Taklimat berkenaan dipimpin Setiausaha Tetap, Datuk Mansur Asun, yang membentangkan keseluruhan struktur kementerian, bidang tanggungjawab serta fokus strategik yang sedang digerakkan.
Pembentangan turut merangkumi pencapaian semasa dan cabaran yang perlu ditangani, termasuk penyediaan program kepimpinan, kemahiran, keusahawanan dan penglibatan komuniti bagi memantapkan hala tuju pembangunan belia.
Setiap bahagian kementerian turut menyampaikan mandat, inisiatif semasa, pencapaian serta perancangan jangka pendek dan panjang.
Aspek pembangunan sukan, termasuk usaha melahirkan atlet cemerlang, peningkatan infrastruktur, dan pengukuhan program akar umbi turut diberikan perhatian.
Bagi sektor ekonomi kreatif, kementerian memberi tumpuan kepada peningkatan daya saing industri, peluasan peluang pekerjaan dan pembangunan bakat baharu.
Dalam sesi tersebut, Nizam menegaskan bahawa penyelarasan antara kementerian dan agensi berkaitan mesti dipertingkat bagi memastikan setiap program memberi impak maksimum kepada belia, atlet dan pemain industri kreatif.
Beliau turut menyuarakan komitmen untuk memacu agenda pembangunan belia sebagai teras penting pembangunan masa depan Sabah.







