Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

PM beri jaminan parameter tuntutan 40 peratus dimuktamad sebelum pertengahan Januari depan


Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa penetapan parameter bagi tuntutan 40 peratus hasil yang menjadi hak Sabah dijangka dimuktamadkan sebelum pertengahan Januari tahun depan.

Berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini, hari ini, Anwar berkata proses penyediaan kaedah pelaksanaan tuntutan itu kini dalam peringkat akhir melalui Jawatankuasa Teknikal yang berkaitan.

Menurutnya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengadakan perbincangan awal bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi menyusun keperluan teknikal sebelum dipersembahkan kepada jawatankuasa berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan proses itu sedikit terkesan ekoran beberapa kekosongan jawatan menteri Persekutuan yang perlu diisi segera.

“Kita ada kekosongan empat jawatan menteri yang akhir Datuk Ewon Benedict, Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz yang tamat tempoh Senator, serta dua lagi. Jadi saya perlu mengisi kekosongan ini dalam tempoh dua minggu.

“Saya akan berbincang dengan ketua-ketua parti, termasuk Datuk Seri Hajiji Noor, sebelum dimuktamadkan (penetapan parameter tuntutan 40 peratus hak Sabah),” katanya.

Anwar berkata kerajaan menetapkan syarat pertama iaitu penetapan “parameter” termasuk jumlah keseluruhan serta peringkat pembayaran dalam setahun dapat diselesaikan sebelum pertengahan Januari.

“Selepas itu ia akan diserahkan kepada Jawatankuasa Teknikal, kemudian kepada Jawatankuasa Persekutuan–Negeri sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri Sabah dan Jemaah Menteri Persekutuan,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap hak 40 peratus Sabah adalah muktamad dan bukan retorik politik.

“Apa yang sudah jelas ialah Kerajaan Persekutuan tetap komited menyerahkan 40 peratus hasil kepada Sabah. Ini bukan soal cari dalih,” tegasnya.

Menurut Anwar, meskipun ada pihak bersikap sinis terutama dalam musim pilihan raya atau kerana sentimen perkauman, kerajaan tetap berpegang bahawa setiap janji mesti ditunaikan.

“Saya tidak mahu budaya politik yang hanya menjanji tetapi tidak melaksanakan. Dalam Islam juga ada amaran jelas mengenai orang yang bercakap tetapi tidak mengamalkannya,” katanya.

Beliau berkata proses itu turut mengambil kira kedudukan kewangan Sabah dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan dilakukan sebaik mungkin.

“Kita terangkan kekuatan kewangan Sabah, kekuatan kewangan Persekutuan, dan cari kaedah pelaksanaan yang paling sesuai,” katanya.

LEAVE A RESPONSE