Read Time:1 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan mengambil tindakan tegas termasuk mengenakan kompaun terhadap mana-mana parti politik yang masih gagal menurunkan bahan kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) ke-17 selepas tamat tempoh yang ditetapkan.
Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pihaknya meminta kepada semua parti politik yang terlibat agar segera membersihkan dan menurunkan sepanduk, poster serta papan tanda kempen yang masih dipasang di sekitar bandar raya ini.
“Kami menyeru kepada semua parti politik yang telah memasang banner dan papan tanda semasa kempen supaya mengambil tindakan segera untuk membersihkannya.
“Jika gagal berbuat demikian, DBKK tidak teragak-agak untuk mengenakan kompaun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia peringkat bandaraya Kota Kinabalu di sini pada Khamis.
Sabin berkata, setakat ini DBKK masih mengesan kewujudan beberapa bahan kempen yang belum diturunkan, malah terdapat juga aduan orang awam yang diterima melalui media sosial berkaitan sepanduk yang rosak, koyak serta jatuh hingga mencacatkan pemandangan bandar.
“Ada banner yang masih tergantung, ada juga yang telah rosak dan jatuh di tebing jalan.
“Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan persekitaran kelihatan tidak kemas, tetapi turut menjejaskan imej bandar raya,” katanya.
Tambah beliau, DBKK akan mengambil tindakan tegas termasuk tidak mengembalilam wang deposit yang telah dibayar kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya pihak terlibat gagal menunaikan tanggungjawab membersihkan bahan kempen tersebut.
Dalam pada itu, Sabin turut menegaskan bahawa DBKK sentiasa berpegang kepada prinsip profesionalisme dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab selaku pihak berkuasa tempatan.
“DBKK bertindak berdasarkan polisi dan peraturan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
“Kami melayani semua pihak secara adil, sama ada wakil rakyat mahupun orang awam,” katanya. – SABAH MEDIA






