Read Time:1 Minute, 43 Second
KOTA KINABALU: Detik penuh bermakna tercipta buat atlet kebangsaan dan graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Chelsea Cassiopea Evali Bopulas, apabila beliau akhirnya menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Psikologi (Psikologi Kanak-Kanak dan Keluarga) pada Majlis Konvokesyen UMS Ke-27, selepas melalui perjalanan akademik yang penuh cabaran.
Anak jati Penampang itu bukan sekadar seorang graduan, malah merupakan pemenang dua pingat emas Kejohanan Asian University Games (AUG) 2024, sekali gus membuktikan keupayaannya mengimbangi kecemerlangan akademik dan sukan di peringkat tertinggi.
Chelsea meluahkan rasa syukur yang mendalam meskipun terpaksa menambah setahun tempoh pengajiannya untuk menamatkan pengajian.
“Saya amat bersyukur dan gembira kerana selepas menambah setahun lagi tempoh pengajian, akhirnya saya berjaya menamatkannya,” katanya.
Mengimbau tahun-tahun awal sebagai pelajar dan atlet, Chelsea mengakui tekanan yang dihadapinya bukan sedikit, terutama ketika terpaksa membahagikan masa antara latihan intensif, kelas dalam talian dan tugasan akademik.
“Pada tahun pertama, saya sangat tertekan kerana terlalu banyak tugasan dan pada masa sama perlu menjalani latihan serta kelas dalam talian sehingga sukar memberi fokus sepenuhnya.
“Namun sokongan rakan-rakan seperjuangan yang sentiasa membantu tanpa jemu menjadikan setiap cabaran terasa lebih ringan,” katanya.
Chelsea turut mendedahkan dua figura utama yang menjadi sumber inspirasinya iaitu lagenda skuasy negara Datuk Nicol David serta jurulatihnya sendiri yang banyak membimbing beliau termasuk dari aspek mental dan disiplin diri.
Sebagai penerima Anugerah Olahragawati MAHEPA UMS ke-26, Chelsea mengakui detik hampir berputus asa sering hadir, namun semangat untuk terus melangkah mengatasi segalanya.
“Perasaan itu muncul hampir setiap semester, tetapi apabila teringat bagaimana saya berjaya mengharungi semester sebelumnya, saya yakin untuk terus melangkah ke hadapan.
“Pengurusan masa sudah menjadi kebiasaan sejak tingkatan enam, yang penting adalah disiplin untuk menepati jadual,” katanya.
Di peringkat antarabangsa, kecemerlangan Chelsea terus terserlah apabila mewakili negara dalam World University Games 2025 di Jerman, di mana beliau layak ke pusingan lapan terbaik acara 4×400 meter wanita.
Malah, beliau sekali lagi bakal menggalas cabaran negara apabila terpilih mewakili Malaysia dalam acara 400 meter, 4×400 meter wanita dan 4×400 meter campuran pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Disember ini.






