Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pendidikan luar bandar jadi keutamaan, akses digital diperkasa – James

Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Kementerian Pendidikan, Sains Teknologi dan Inovasi Sabah akan memberi tumpuan utama kepada pembangunan pendidikan luar bandar di negeri ini terutama dalam aspek kemudahan pembelajaran, prasarana sekolah serta akses digital.

Menterinya, Datuk James Ratib berkata, pelajar di kawasan pedalaman masih berdepan kekurangan fasiliti asas seperti komputer riba, tablet dan akses internet yang stabil sekali gus menjejaskan proses pembelajaran mereka.

Menurutnya, isu kekurangan peranti digital bukan sahaja membebankan pelajar malah turut memberi tekanan kepada ibu bapa yang terpaksa menanggung kos tambahan demi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam pelajaran.

“Di kawasan bandar mungkin kemudahan ini lebih mudah diperoleh, tetapi di kawasan pendalaman masih ramai pelajar yang terpaksa berkongsi peranti malah ada yang langsung tidak memilikinya.

“Ini menjadi antara cabaran besar dalam pembelajaran mereka,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi ‘clock-in’ di kementeriannya di sini pada Rabu.

James berkata, pihaknya juga akan turut memberi perhatian terhadap isu kekurangan asrama yang menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa berulang-alik jauh ke sekolah setiap hari.

Beliau akan turut meneliti keperluan pembinaan lebih banyak asrama khususnya di kawasan luar bandar bagi memastikan pelajar tinggal dalam persekitaran yang lebih selamat dan kondusif.

Dalam masa sama, beliau juga memberi jaminan akan meneliti masalah sekolah yang masih belum siap dibina serta keadaan sekolah daif yang masih menggunakan bangunan kayu.

“Saya akan mendapatkan senarai penuh daripada Kementerian Pendidikan mengenai sekolah-sekolah daif dan projek yang terbengkalai supaya tindakan segera dapat diambil demi keselamatan dan keselesaan murid serta guru,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kementeriannya akan bekerjasama rapat dengan guru-guru, pengarah pendidikan serta pemimpin masyarakat bagi mengenal pasti permasalahan sebenar pelajar luar bandar termasuk isu sosial, kebajikan dan keperluan pembelajaran.

Dalam aspek digital pula, beliau menyasarkan liputan internet dan WiFi dapat diperluaskan ke semua kawasan luar bandar di Sabah dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memastikan pelajar tidak lagi tercicir dalam pembelajaran digital.

“Masalah capaian internet yang lemah memaksa ada pelajar ke bandar hanya untuk mendapatkan WiFi. Ini situasi yang menyukarkan dan mesti diselesaikan segera,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pendidikan pelajar luar bandar akan terus menjadi agenda utama kementerian bagi memastikan mereka tidak terus ketinggalan berbanding pelajar di kawasan bandar. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE