Read Time:3 Minute, 15 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Peguam Datuk Ram Singh membuat laporan mengenai kewujudan ‘Circle 19’ di SMKA Tun Datu Mustapha supaya pihak sekolah mengambil tindakan untuk menghapuskan kumpulan ini.
Laporan polis itu dibuat susulan keterangan saksi ke 54, Nurul Syahadah Ibrahim, 38, yang mengetahui kewujudan kumpulan itu namun “tidak pasti” sama ada patut membuat laporan polis terhadap kumpulan Circle 19 atau sebaliknya.
Nurul yang merupakan Penolong Ketua Guru Disiplin ketika menjawab soalan daripada Ram berkata kumpulan Circle 19 bukan geng dan ia masih wujud di SMKA Tun Datu Mustapha kerana ahli-ahlinya masih belajar di sekolah tersebut.
Peguam: Adakah Circle 19 masih wujud di sekolah ini?
Saksi: Ya, tuan.
Peguam: Kenapa?
Saksi: Kerana pelajar-pelajar itu masih berada di sekolah dan meneruskan pembelajaran mereka.
Peguam: Saya bercakap tentang Circle 19. Mengapa ia masih dibenarkan?
Saksi: Kami tidak pernah membenarkan sekiranya ada Circle-Circle yang tidak baik kerana pelajar ini sudah diingatkan dalam usrah putri, larangan untuk berpuak-puak. Dan dalam usrah sendiri diingatkan, diterapkan bagaimana untuk saling menghormati antara semua pelajar.
Peguam: Circle 19 mungkin sebab Zara dibuli, diejek, segala-galanya. Circle 19 mungkin puncanya. Apa jawapan anda?
Saksi: Saya tidak pasti, tuan.
Peguam: Sebagai ustazah di sekolah agama terkenal ini, SMKA TDM, bolehkah anda kembali hari ini atau esok dan berikrar untuk menghapuskan Circle 19? Boleh atau tidak?
Saksi: Circle 19 bukan geng, tuan.
Peguam: Tidak. Hapuskan sahaja. Hentikan Circle 19. Saya minta komitmen anda sebagai ustazah. Boleh atau tidak? It’s up to you, your conscience not mine? You gonna live with it.
Saksi: Tuan, selepas kami mengetahui Circle 19 ini, kami telah, unit disiplin sendiri telah mengingatkan para pelajar. Karena apa? Kerana kami baru tahu berkaitan Circle 19 ini. Sudah pasti kami tidak setuju sekiranya ada berpuak-puak dalam kalangan pelajar. Justru itu, saya, saya mengetahui asalnya Circle 19 merupakan rakan-rakan akrab yang selalu melakukan rutin harian bersama-sama. Tetapi, apabila mengetahui kes ini, saya tidak pasti, adakah Circle 19 perlu diteruskan. Tetapi saya boleh jamin selepas kes ini larangan berpuak-puak telah diingatkan serta-merta, Tuan. Kami sangat peka dengan perkara ini.
Peguam: Bila anda mengetahui tentang Circle 19?
Saksi: Selepas kejadian, tetapi saya tidak pasti bila.
Peguam: Tapi anda tahu ia wujud?
Saksi: Ya, tuan.
Peguam: Adakah anda tahu bahasa yang mereka gunakan? Perkataan menghina… tahu atau tidak? Adakah kamu tahu Circle 19 ni mempunyai tabiat, kamu tahu apa mereka suka cakap… Memaki. Mahu tahu apa yang mereka cakap? Adakah Ustazah tahu perkataan yang merka gunakan seperti “………….”. Do you know or not?
Saksi: Ya, tuan, saya tahu.
Peguam: Ada kamu rekodkan perkataan-perkataan yang mereka gunakan?
Saksi: Rekod, tidak ada tuan.
Peguam: Tapi di mahkamah ini, kita sudah tahu.
Saksi: Ya, tuan.
Peguam: Ustazah masih belum buat komitmen untuk hentikan Circle 19, besok tengah hari. Boleh kamu hentikan? Anda sudah bersumpah untuk berkata benar, boleh hentikan atau tidak?
Saksi: Saya sudah lakukan, tuan.
Peguam: Tapi ia masih wujud?
Saksi: Mungkin masih ada lagi tuan.
Peguam: Jadi, anda silap. Anda gagal; anda tidak boleh menghentikannya. Terutamanya semua ini, disiplin nampak gagal. Buat apa? Lebih baik buat aduan dengan polis supaya mereka boleh ditangkap. Betul tak? Boleh anda buat laporan polis jika kumpulan ini masih wujud sebelum berlaku satu lagi kematian? Apa komitmen kamu? Boleh buat laporan polis? Bolehkah, tidak boleh? Ataupun, kamu takut nanti kena buang kerja besok? You have to save a person’s life, Ustazah. Satu kematian. Kita tak mau lagi ada dua. Inilah inkues, Boleh kamu buat laporan polis?
Saksi: Saya tidak pasti, Tuan.
Peguam: Saya akan buat laporan polis berhubung “saya tidak pasti.”
Ram kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Luyang kira-kira jam 1.30 petang semasa mahkamah berehat untuk makan tengah hari.
Dalam laporan itu, Ram meminta polis mengambil tindakan dan menjalankan siasatan lanjut terhadap kumpulan Circle 19.
Ram merupakan salah seorang peguam mewakili lima pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas tuduhan menghina Zara.






