Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Guru disiplin akui kematian Zara mungkin boleh dielakkan


Read Time:3 Minute, 15 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner mendengar bahawa kematian Zara Qairina Mahathir berkemungkinan dapat dielakkan sekiranya tindakan sewajarnya diambil selepas aduan yang diterima pada 14 Mac.

Nurul Syahada Ibrahim, saksi ke-54, bersetuju dengan peguam Datuk Ram Singh ketika ditanya  mengenai tindakan pihak sekolah terhadap aduan berterusan yang dibuat oleh ibu seorang pelajar lain dari Mac hingga Julai tahun ini.

Bagaimanapun, Penolong Ketua Guru Disiplin itu menegaskan pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada Zara sendiri selain laporan yang dibuat pada 14 Mac berhubung dakwaan gangguan seksual.

Peguam: Sebagai Unit Disiplin, kamu tidak menghentikan atau menyiasat perkara ini?
Saksi: Perkara macam ini, merujuk kepada apa?

Peguam: Beginilah, kalau dihentikan, kejadian yang menimpa Zara itu tidak akan berlaku. Maksud saya, kamu semua tidak menghentikannya dari Mac, April, Mei, Jun hingga Julai. Perkara ini tidak dihentikan maka kejadian itu berlaku.
Saksi: Pertama sekali, kami memang tidak pernah menerima aduan mengenai Zara. Kalau perkara ini sampai kepada kami pasti akan disiasat dengan serta merta. Namun begitu saya dengan yakin memberitahu usrah puteri merupakan satu medium platform untuk kami guru disiplin untuk bersemuka sendiri dengan pelajar puteri dan memberitahu serta mengingatkan mereka tentang adab-adab yang perlu mereka patuhi setiap masa. Walau bagaimanapun, apa sahaja yang berlaku, kami telah berusaha sebaik mungkin untuk menangani perkara ini dengan sebaiknya.

Peguam: Apa pun yang kamu jelaskan, tetapi kejadian menimpa Zara pada 16 Julai.
Saksi: Yang pasti, dia ditemui di bawah.

Peguam: Ya, dia ditemui di bawah, dia jatuhlah, betul?
Saksi: Saya tidak pasti.

Peguam: Zara ditemui di bawah, dibawa dengan ambulans ke hospital, dirawat, kemudian meninggal dunia, betul?
Saksi: Betul.

Peguam: You should have stop the kematian kalau semua Langkah-langkah dipatuhi. Betul atau tidak?
Saksi: Betul, tuan.

Menjawab soalan lain Nurul Syahada mengakui Zara masuk ke SMKA TDM pada bulan Februari 2025 dan tidak sampai satu bulan sudah ada aduan dari Zara.

Peguam: Mengikut WhatsApp daripada ibu, Yasmin, terdapat aduan setiap bulan dari Mac hingga Ogos, betul?
Saksi: Benar, tuan.

Peguam: Bila kejadian berlaku pada Zara?
Saksi: Berkaitan gangguan seksual pada bulan Mac, kematian pada 17 Julai 2025.

Peguam: Adik ini berminat untuk menjadi Badar, betul?
Saksi: Benar, tuan.

Peguam: Adik ini masuk sekolah Februari, terdapat aduan pada Mac, April, Jun, Julai, dan kemudian meninggal pada 17 Julai, ya?
Saksi: Betul, tuan.

Peguam: Jadi, dia hanya berada di sekolah selama lima bulan sahaja, betul?
Saksi: Betul, tuan.

Peguam: Selepas banyak aduan setiap bulan, sekolah tidak mengambil tindakan?
Saksi: Kami tidak menerima aduan.

Apabila dirujuk dengan satu dokumen, Nurul Syahada mengesahkan ia adalah aduan ibu pelajar A kepada pengetua mengenai kes buli, namun dia tidak mengetahui sekarinya Tindakan ada diambil kerana dia sendiri tidak mengeahui tentang aduan itu.

Peguam: Walaupun ada surat bertarikh 1 September, pihak sekolah, ustazah, unit disiplin, dan kaunseling tidak mengambil tindakan, betul?
Saksi: Kami tidak menerima aduan, tuan.

Peguam: Maksudnya pengetua tidak memberitahu kamu, betul?
Saksi: Benar, tuan.

Peguam: Jadi, dari April hingga Julai, kematian Zara. Lima bulan sahaja dia berada di sekolah, seorang yang begitu bercita-cita tinggi, tetapi meninggal begitu sahaja. Siapa patut dipersalahkan? Kamu beritahu saya sekarang.
Saksi: Saya tidak pasti, tuan.

Peguam: Kenapa tidak pasti? Ini adalah inquess. Siapa patut dipersalahkan atas kematian, seorang kanak-kanak yang begitu bercita-cita tinggi, ingin menjadi pengawas, datang jauh dari Sipitang, kini meninggal. Siapa patut dipersalahkan? Kamu beritahu kami, beri cadangan.

Koroner: Sebelum itu, saya ingin mengingatkan soalan ini berupa ‘incriminating question’. Mahkamah mengingatkan puan boleh memilih untuk tidak menjawab soalan.
Saksi: Saya memilih untuk tidak menjawab soalan ini.

Peguam: Adakah kamu berasa sedih? Adakah kamu ada perasaan terhadap kematian Zara? Lima bulan sahaja dalam hidup sekolah, SMKA TDM. Kamu ada rasa apa-apa?
Saksi: Sudah pasti, kerana beliau merupakan anak kami sendiri.

Peguam: Saya tanya, adakah kamu berasa apa-apa?
Saksi: Saya menjawab soalan, saya berasa sedih.

Peguam: Kepada siapa? Kepada saya?
Saksi: Tentang apa yang berlaku kepada arwah Zara.

Peguam: Kepada siapa?
Saksi: Kepada arwah Zara.

LEAVE A RESPONSE