Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Ekonomi Biru dan Tenaga Boleh Diperbaharui: Kudat Membuka Potensi Baharu Di Mata Dunia

Read Time:4 Minute, 32 Second

KUDAT bukan hanya sebuah bandar utara Sabah yang sinonim dengan perikanan, komuniti pesisir dan pelancongan alam, ia kini berada di ambang satu fasa transformasi ekonomi paling strategik dalam sejarah pembangunannya.

Gabungan antara kelebihan geografi, perancangan industri bersepadu serta minat pelabur antarabangsa meletakkan Kudat dalam radar baharu pembangunan ekonomi Sabah dan Malaysia. Ia berpotensi menjadi pelopor tenaga boleh diperbaharui negara dan juga sebagai hab ekonomi biru.

Konsep ekonomi biru bukanlah  sekadar bergantung kepada hasil tangkapan laut. Ia merangkumi seluruh rantaian nilai  daripada perikanan, marikultur, pemprosesan hasil laut, bioteknologi marin, logistik pelabuhan, pembinaan kapal, hinggalah kepada tenaga berasaskan lautan.

Perancangan kerajaan negeri untuk membangun Taman Perindustrian Ekonomi Biru di Kudat menjadi asas kepada pembinaan ekosistem industri maritim moden. Ia bukan sahaja berpotensi mengubah struktur ekonomi tempatan, malah membuka ruang kepada kehadiran teknologi baharu, pelaburan berimpak tinggi dan peluang pekerjaan berkemahiran.

Lebih penting, pembangunan ekonomi biru di Kudat menandakan peralihan daripada ekonomi berasaskan sumber mentah kepada ekonomi berasaskan nilai tambah dan inovasi.

Kudat  Bakal menjadi Daerah Transisi Tenaga

Apa yang lebih strategik, pusat ekonomi biru Kudat tidak dibina secara terasing daripada agenda tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Malah, kedua-duanya saling melengkapi.

Mengikut kajian, Kudat mempunyai potensi semula jadi untuk pembangunan pelbagai sumber tenaga hijau termasuk tenaga suria, angin, sistem storan tenaga (BESS), serta potensi tenaga laut seperti OTEC (Ocean Thermal Energy Conversion).

Ini sejajar dengan hala tuju Sabah dan negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil serta menangani cabaran perubahan iklim.

Malah penjanaan Battery Energy Storage System (BESS) yang  berkapasiti 100 Megawatt (MW) dengan simpanan tenaga sebanyak 400 MWj yang terletak di daerah itu, telah mula beroperasi dan dan disambungkan dengan sistem Grid Sabah.

Malah, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar berkata projek yang mula dibangunkan pada September 2024 itu telah membantu menampung kapasiti tenaga rizab simpanan Grid Sabah di waktu puncak sebanyak 50MW dan akan mencapai kapasiti penuh 100MW.

Dalam pada itu, Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Kajian mengenai potensi OTEC itu  sedang giat diusahakan oleh kerajaan Sabah dan inisiatif itu diharap dapat memberi impak positif terutama dalam memastikan kesejahteraan rakyat Sabah.

Selain Ekonomi Biru, Hajiji berkata kerajaan Sabah juga sedang mengusahakan inisiatif Karbon Biru melalui pemeliharaan hutan bakau, sambil menjelaskan Sabah memiliki kawasan hutan bakau terbesar di Malaysia, dan kelebihan itu membuka peluang untuk negeri ini melaksanakan perdagangan karbon.

Beliau berkata Sabah juga telah mendapat fasiliti daripada institusi kewangan bagi memberi kemudahan pinjaman kepada para pelabur yang mahu terlibat dalam usaha membangunkan Ekonomi Biru Sabah.

“Inisiatif ini dijangka akan memberi impak positif dan memperkukuhkan lagi ekonomi Sabah pada masa hadapan,” katanya.

Beliau turut menegaskan setiap projek pembangunan dilaksanakan menerusi Ekonomi Biru Sabah akan mematuhi peraturan digariskan dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDG),

Maka Dalam konteks inilah, kesediaan pelabur antarabangsa untuk melabur dalam tenaga bersih di Sabah dilihat sebagai faktor pemacu yang sangat signifikan.

Minat Pelabur Global: Isyarat Keyakinan Dunia terhadap Sabah

Keterbukaan pelabur antarabangsa seperti Syarikat dari Thailand, iaitu B.Grimm Power untuk menyokong pembangunan tenaga hijau di Sabah menghantar isyarat jelas bahawa negeri ini kini mendapat perhatian serius di peringkat serantau.

Sebagai syarikat tenaga global dengan strategi “GreenLeap – Global & Green”, B.Grimm membawa bukan sahaja modal, tetapi juga pengalaman teknikal, kepakaran pengurusan dan teknologi terkini dalam industri tenaga bersih.

Kehadiran pemain antarabangsa seperti ini berupaya mempercepatkan proses pemindahan teknologi, pembangunan grid moden serta integrasi tenaga boleh diperbaharui secara berskala besar.

Dalam konteks Kudat, pelaburan sebegini boleh menjadi pemangkin kepada pembentukan sebuah zon industri marin yang beroperasi sepenuhnya dengan sokongan tenaga hijau satu model pembangunan yang masih jarang diwujudkan di Malaysia.

Kesan Langsung Kepada Rakyat Sabah

Pembangunan ekonomi biru dan tenaga boleh diperbaharui di Kudat bukan sekadar naratif pelaburan dan angka ekonomi. Kesan paling penting ialah impaknya terhadap rakyat Sabah sendiri.

Antara kesan langsung yang boleh dijangkakan ialah:

Peluang Pekerjaan Baharu Berkemahiran

Industri marin moden dan tenaga hijau memerlukan tenaga kerja teknikal, jurutera, operator sistem, penyelidik serta pekerja sokongan berkemahiran tinggi.

Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar

Pelaburan industri akan memacu pembangunan jalan, pelabuhan, utiliti, grid elektrik dan kemudahan asas, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk setempat.

Pemindahan Teknologi dan Kepakaran

Anak muda Sabah berpeluang terlibat secara langsung dalam industri teknologi tinggi tanpa perlu berhijrah ke luar negeri.

Kestabilan Bekalan Tenaga

Tenaga boleh diperbaharui yang dihasilkan secara tempatan dapat meningkatkan keselamatan tenaga Sabah dan mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa depan.

Kelestarian Alam Sekitar

Pembangunan berasaskan tenaga hijau dapat mengimbangi aktiviti industri dengan pemuliharaan alam sekitar pesisir dan lautan.

Dalam keterujaan melihat potensi besar ini, beberapa cabaran perlu diberi perhatian serius termasuk isu pembiayaan infrastruktur asas, kelulusan peraturan, pembangunan tenaga kerja tempatan, serta keseimbangan antara pembangunan industri dan kelestarian alam sekitar.

Kejayaan Kudat sebagai hab ekonomi biru dan tenaga boleh diperbaharui bergantung kepada tadbir urus yang telus, perancangan jangka panjang dan kerjasama erat antara kerajaan, pelabur dan rakyat tempatan.

Kudat Sebagai Simbol Arah Baharu Sabah

Apa yang pasti, Kudat hari ini berdiri di persimpangan sejarah. Jika perancangan ekonomi biru dan tenaga boleh diperbaharui ini dilaksanakan dengan berkesan, daerah ini bukan sahaja akan muncul sebagai hab industri marin moden, malah boleh menjadi contoh model pembangunan lestari untuk seluruh negara.

Kesediaan pelabur antarabangsa untuk menyokong agenda tenaga hijau Sabah adalah satu petunjuk jelas bahawa potensi negeri ini bukan lagi sekadar wacana tempatan, tetapi telah mula diiktiraf di peringkat global.

Kini, cabaran sebenar ialah memastikan potensi ini diterjemahkan menjadi manfaat sebenar kepada rakyat Sabah  bukan sekadar di atas kertas, tetapi dalam kehidupan harian mereka.

LEAVE A RESPONSE