Read Time:1 Minute, 13 Second
Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Datuk Arsad Bistari berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti 1,821 undi.
Arsad memperoleh 4,914 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Azuwan Marjan yang meraih 3,093 undi, serta calon baharu dari Parti Warisan, Mohd Khidir Lamsil, dengan 2,392 undi.
Kemenangan kali ini menyaksikan peningkatan majoriti berbanding Pilihan Raya ke-16 lalu, di mana beliau menang dengan majoriti 1,685 undi.
Di DUN Pintasan, bekas Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Fairuz Renddan, turut mengulangi kejayaan terdahulu apabila mempertahankan kerusi berkenaan sebagai calon Bebas dengan simbol buku.
Fairuz meraih 4,675 undi, sekali gus memperoleh majoriti 1,070 undi untuk menewaskan tokoh politik veteran dan calon GRS, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, yang mendapat 3,605 undi.
Calon Parti Warisan, Abdullah Otong, pula berada di tempat ketiga dengan 1,167 undi.
Kemenangan ini juga memperlihatkan peningkatan ketara sokongan terhadap Fairuz berbanding pilihan raya lalu, di mana beliau hanya menang dengan majoriti 84 undi melalui 2,744 undi keseluruhan.
Sementara itu di DUN Usukan, Ahli Parlimen Kota Belud Munirah Majilis berjaya merampas kerusi itu dari penyandang Datuk Salleh Said Keruak dengan majoriti 442 undi.
Pada pertembungan enam penjuru itu, Munirah berjaya memperoleh 6,292 undi seterusnya menewaskan Salleh dengan undi 5,850 undi.
Di DUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick mengekalkan kerusi itu dengan majoriti 9,672 menewaskan tujuh lagi pencabarnya di kerusi itu. – SABAH MEDIA






