Read Time:1 Minute, 6 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya di Sabah, seorang warga emas tetap hadir menunaikan tanggungjawab kerana percaya wakil rakyat yang dipilih mampu membawa perubahan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Luyang.
Mak Yok Hou, 76, hadir ke pusat pengundian di Sekolah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi dalam keadaan sakit lutut, sambil memegang bahu suaminya ketika berjalan ke pusat mengundi.
“Saya sakit lutut tetapi saya mahu juga mengundi… saya tidak pernah terlepas turun mengundi pada pilihan raya sebelum ini. Saya harap calon yang saya undi akan menang,” katanya.
Beliau yang menetap di Kepayan Ridge berkata harapannya sentiasa sama pada setiap pilihan raya.
“Kalau okay jalankan tanggungjawab, bagus… kalau tidak,. susahlah. Tunggu lima tahun lagi,” katanya sambil ketawa.

Selesai mengundi, pasangan itu menuju ke Maktab Sabah, tempat suaminya yang berusia 80 tahun menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di kawasan tersebut.
Sementara itu, dua adik-beradik, Zoey Wong, 20, dan Michelle Wong, 19, turut teruja mengundi buat pertama kali.
Mereka yang ditemani kakak dan abang ipar berkata pengalaman turun mengundi memberi mereka peluang memilih parti yang diyakini mampu membawa perubahan.
“Kami mengundi bukan kerana calon, tetapi parti… kerana yakin parti yang kami pilih mampu melakukan yang terbaik untuk rakyat dan generasi muda,” kata Zoey.






