Read Time:1 Minute, 14 Second
Oleh J Evachel John
PUTATAN: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor menyeru pengundi DUN Tanjung Keramat untuk memilih calon yang mempunyai perancangan jelas dan realistik dalam membangunkan kawasan itu.
Beliau berkata demikian selepas mendengar penjelasan aspirasi dan hala tuju calon GRS Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya, yang menurutnya mencerminkan kesungguhan dan persediaan seorang pemimpin muda untuk berkhidmat.
Hajiji turut menyatakan keyakinan bahawa Shah Alfie mampu menawan kerusi Tanjung Keramat.
“Saya tertarik hati dengan aspirasi dan perancangan yang beliau nyatakan tadi. Ini yang kita mahu. Calon kita, bakal pemimpin kita, wakil rakyat kita mesti mempunyai perancangan,” katanya semasa siri jelajah kempen Rumah Kita Kita Jaga di Dewan Serbaguna Fasa 3, Kampung Meruntum, dekat sini.
Menurut Hajiji, perancangan yang kukuh menjadi asas kepada pembangunan yang mampan.
“Kalau ada perancangan, insya-Allah dia boleh membantu membawa kemajuan di kawasan Tanjung Keramat ini,” katanya.

Hajiji turut menasihatkan para pengundi supaya tidak tersalah membuat pilihan, dan mengundi parti yang mempunyai rekod pencapaian sepanjang lima tahun mentadbir.
Beliau menegaskan bahawa pengundi tidak wajar memilih parti yang pernah diberi peluang mentadbir tetapi gagal membawa perubahan serta tidak mempunyai perancangan jelas, sebaliknya sering mengulangi retorik politik.
“Mereka sudah ditolak oleh rakyat dalam pilihan raya lalu. Jadi, kali ini jangan salah pilih. Pilih parti GRS,” katanya.
Bercakap kepada media, Hajiji berkata beliau yakin rakyat dapat membuat penilaian terbaik berdasarkan prestasi GRS.
“Saya amat yakin, daripada laporan yang saya terima, insya-Allah kerajaan GRS dapat dibentuk selepas keputusan rasmi diumumkan esok malam,” katanya.







