Read Time:1 Minute, 5 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karambunai Datuk Arshad Idris menepis kritikan yang menyatakan beliau sudah ‘tidak kuat lagi’ untuk berkhidmat kepada rakyat.
Beliau berkata, meskipun dianggap “kelapa tua” oleh sesetengah pihak, pengalaman dan kemampuan beliau tetap bermanfaat untuk rakyat.
“Kelapa tua masih banyak kegunaannya – santannya, sabutnya, semuanya ada manfaat. Begitu juga dengan saya, saya masih mampu berkhidmat untuk penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga di perkarangan Masjid Al-Munir Darau di sini pada Rabu.
Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan calon GRS kerusi DUN Darau Datuk Mohamed Razali Razi.
Arshad menegaskan bahawa sepanjang tiga tahun memimpin kawasan Karambunai, beliau masih aktif turun padang dan bekerja keras.
Katanya, ia menunjukkan bahawa pengalaman bukan halangan untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.
Beliau menambah bahawa hubungan beliau dengan pengundi yang rapat dan sokongan berterusan penduduk membolehkan beliau menangani cabaran dan kritikan dengan penuh halus dan diplomasi, demi memastikan keharmonian dan kesejahteraan rakyat.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar para pengundi khususnya di kawasan DUN Karambunai dan Darau dapat memilih GRS bagi meneruskan kesinambungan Pembangunan.
Katanya, kedua-dua kawasan tersebut adalah tonggak kekuatan GRS, dan kemenangan amat penting untuk memperkukuh pentadbiran di Sabah. – SABAH MEDIA






