Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

George Hiew yakin dapat pertahan kerusi DUN Karamunting


Read Time:1 Minute, 8 Second

SANDAKAN: Tinggal dua hari menjelang hari mengundi Sabtu ini, calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin tampil yakin mampu mempertahan kerusi itu.

Menyifatkan sokongan pengundi di kawasan itu kekal kukuh, George berkata, biarpun berlaku perubahan parti yang diwakilinya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17), sambutan pengundi terhadapnya sentiasa menggalakkan.

Ini kerana, katanya, pengundi di peringkat akar umbi lebih mengutamakan calon yang telah lama bekerja untuk rakyat berbanding kemunculan saat akhir.

“Sejak hari pertama hingga hari ini, saya nampak jelas bahawa penduduk di Karamunting lebih menghargai calon yang konsisten turun padang dan berkhidmat.

“Mereka tidak mahu calon yang hanya muncul bila tiba musim kempen,” katanya ketika ditemui dalam kempennya di Karamunting.

George berkata, pada awalnya beliau bimbang mengenai isu penyokong tradisinya selepas beliau bertanding atas tiket PH, bukan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Memang dari awal saya risau juga tentang isu itu, sebab saya dari parti sebelum ini.

“Tetapi bila saya turun ke lapangan, saya lihat sendiri kenapa saya kata pengundi di Karamunting lebih bijak. Selama tujuh tahun, dua penggal, setiap aduan mereka,terutama berkaitan infrastruktur, saya usaha dan bantu,” katanya.

George berkata pengalaman turun padang sejak sekian lama menyebabkan pengundi lebih menilai rekod khidmatnya, bukan simbol parti semata-mata.

Beliau optimis pengundi akan terus memberikan kepercayaan kepadanya pada hari pengundian nanti, berdasarkan sokongan berterusan yang diterimanya sepanjang kempen.

LEAVE A RESPONSE