Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Arsad pemimpin setia berkhidmat, layak teruskan mandat di Tempasuk – Khairy

Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Kehadiran bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mencuri tumpuan apabila beliau turun padang ke Tempasuk bagi menyatakan sokongan terbuka kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Datuk Arsad Bistari.

Khairy berkata, sepanjang hampir dua dekad mengenali Arsad, beliau melihat sendiri bagaimana penyandang di kerusi itu sanggup mengorbankan perniagaannya demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada masyarakat.

“Saya nasihatkan dia supaya fikir masak-masak sebelum tinggalkan perniagaan untuk politik. Tetapi Arsad rasa dia perlu berbakti. Itu yang membezakan dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Sembang Santai Bersama Khairy Jamaluddin di perkarangan Dewan Arsad di sini pada Khamis.

Menurut Khairy, pengundi Tempasuk seharusnya menilai prestasi Arsad berdasarkan rekod nyata sepanjang lima tahun memegang kerusi tersebut.

“Beliau sentiasa turun padang, 24 jam masyarakat boleh cari. Itu ciri pemimpin yang kita perlukan untuk majukan Tempasuk,” tambahnya.

Khairy turut menasihatkan pengundi supaya tidak terperangkap dengan sentimen yang dimainkan sesetengah pihak berhubung isu hak Sabah dan hubungan Sabah–Persekutuan.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama erat antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat ketika ini telah membuka jalan kepada pelbagai bentuk bantuan dan kelancaran pembangunan.

“Formula kerjasama yang ada sekarang sangat berkesan. Dana yang disalurkan ke Sabah juga antara yang terbesar dalam sejarah,” katanya.

Mengulas suasana politik semasa, Khairy mengakui bahawa Sabah kekal sebagai negeri dengan persaingan politik paling rencam, lebih-lebih lagi apabila wujud lebih daripada 10 penjuru di beberapa kawasan dalam pilihan raya kali ini.

Beliau menyifatkan situasi itu sebagai cabaran besar namun juga bukti keterlibatan politik yang semakin matang dalam kalangan rakyat negeri ini. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE