Read Time:1 Minute, 27 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri Sabah terbukti menjadi faktor utama kejayaan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan yang selama ini tertangguh, termasuk dalam aspek bekalan air, elektrik dan infrastruktur asas rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik antara pentadbiran Persekutuan dengan kepimpinan Sabah di bawah Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, memudahkan segala urusan perancangan dan kelulusan projek demi kepentingan rakyat.
“Bila kerajaan negeri dekat dengan Kerajaan Persekutuan, senang kita bekerja, senang kita berbincang dan senang kita laksanakan agenda pembangunan, termasuk pelaksanaan MA63,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis temu rapat dengan pimpinan masyarakat tempatan dan sahabat usahawan Tuaran di sini pada Khamis.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Anwar berkata, antara manifestasi jelas kerjasama itu ialah pemulangan kuasa pengurusan elektrik Sabah kepada negeri melalui pindaan undang-undang di Parlimen, sekali gus membolehkan Sabah mengurus sendiri Sabah Electricity.
Selain itu, beliau turut mendedahkan Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan berjumlah RM1.2 bilion kepada Sabah bagi menangani isu bekalan asas seperti air dan elektrik yang sekian lama membelenggu rakyat negeri ini.
“Ini bukan janji kosong. Projek sudah berjalan, empangan sedang disiapkan dan bekalan air mula diperbaiki. Ini hasil kerja bersama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Menurut beliau, pendekatan rundingan secara berhemah dan hubungan yang baik antara dua kerajaan membolehkan tuntutan Sabah, termasuk pembayaran 40 peratus hasil negeri seperti termaktub dalam Perlembagaan, dibincangkan dan dilaksanakan secara berperingkat.
Dalam pada itu, beliau turut memuji kesungguhan Ketua Menteri Sabah yang disifatkan sentiasa mengutamakan masalah rakyat berbanding kepentingan peribadi.
“Sepanjang saya menjadi Perdana Menteri, tidak pernah sekali pun beliau meminta sesuatu untuk dirinya atau keluarganya. Yang beliau suarakan hanyalah isu rakyat Sabah – air, elektrik dan jalan raya,” katanya. – SABAH MEDIA






