Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Ketua Polis Daerah Keningau, Supritendan Yampil Anak Garai, menasihatkan warga kawasan Pedalaman khususnya di P.180 Keningau dan P.182 Pensiangan agar semua parti dan calon yang bertanding mengamalkan kempen secara profesional, berdisiplin dan harmoni.
Beliau turut mengingatkan semua pihak, termasuk penyokong parti, jentera kempen dan masyarakat setempat, supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta garis panduan ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak berkuasa.
“Elakkan provokasi, hasutan atau sebarang tindakan yang boleh mencetuskan pertelingkahan. Hormati perbezaan pandangan dan jaga tutur kata ketika berinteraksi,” katanya ketika dihubungi selepas menunaikan undi awal di sini pada Selasa.
Tegasnya, setiap ceramah, pemasangan bahan kempen dan pergerakan jentera mestilah mempunyai permit serta mendapat kebenaran sewajarnya.
Bagi tujuan itu, katanya, Polis IPD Keningau dengan bantuan pasukan sumber manusia dari Kontinjen Sabah dan Bukit Aman telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan sepanjang tempoh kempen, termasuk memperhebat rondaan di kawasan tumpuan serta lokasi ceramah.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan segera sebarang perlakuan menyalahi undang-undang.
Pada masa sama, Yampil mengingatkan orang ramai agar tidak menularkan maklumat atau video yang tidak sahih kerana ia boleh mengganggu ketenteraman awam.
Beliau turut menyeru orang ramai menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan berhemah.
“Elakkan penyebaran fitnah, kenyataan berbaur kebencian atau maklumat yang tidak disahkan. Setiap perkongsian mempunyai kesan terhadap keharmonian masyarakat,” tegasnya.
Ketua Polis Daerah itu turut mengingatkan para pemilih di Parlimen Keningau (merangkumi DUN Liawan, Bingkor dan Tambunan) serta Parlimen Pensiangan (merangkumi DUN Tulid, Sook dan Nabawan) agar pada hari mengundi Sabtu ini (29 November) keluar mengundi mengikut waktu sesuai dan mematuhi arahan petugas SPR.
Beliau juga mengingatkan pengundi supaya tidak membawa sebarang bahan kempen ke dalam kawasan pusat mengundi.
Katanya, selain menjaga keselamatan diri sepanjang perjalanan ke pusat mengundi, pengundi juga perlu mematuhi arahan anggota polis di lokasi bagi memastikan kelancaran pergerakan keluar masuk.
“Elakkan berkumpul dalam jumlah besar atau melakukan apa-apa bentuk perarakan yang tidak dibenarkan,” katanya.
Dalam pada itu katanya, PDRM komited memastikan suasana aman, selamat dan terkawal sepanjang proses pilihan raya berlangsung.
Berharap kerjasama dan sokongan masyarakat agar proses PRU DU Sabah Ke-17 berjalan dengan lancar dan rakyat dapat menjalankan tanggungjawab dengan aman.






