Read Time:1 Minute, 7 Second
Oleh Raul G
Tuaran: Hujan berterusan disusuli angin kencang sejak awal pagi menyebabkan beberapa kawasan di daerah ini mengalami banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh.
Pegawai APM Daerah Tuaran dan Unit Tamparuli, Nur Azierah Alang berkata, sebanyak 27 rumah terjejas akibat dinaiki air membabitkan lima buah kampung di Tuaran dan Tamparuli.
“Cuaca hujan yang berterusan sejak awal pagi sehingga kini menyebabkan semua kawasan terlibat mula dinaiki banjir namun masih dalam keadaan terkawal.
“Setakat ini belum ada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka namun pasukan APM yang dikerah ke lokasi sentiasa memantau secara berkala,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurutnya, lima kampung dalam keadaan berjaga-jaga adalah Kampung Bantayan Tamparuli, Kampung Bakut, Kampung Gayang, Kampung Timbok, Kampung Pasal Berungis,
Manakala 11 lagi laluan kenderaan dinaiki air, pokok tumbang dan tanah runtuh membabitkan Jalan Kampung Lentuong, Jalan Rambai Mangkaladoi, Jalan Sulaman, Jalan Lama Tuaran, Jalan Kompleks JKR, Jalan Taman Rugading, Jalan Kauluan Bukit Giling, Jalan Bantayan, Jalan Malinsau Sambah.
“Semua laluan berkenaan masih boleh dilalui kecuali Jalan Lama Tamparuli LLC serta Jalan Perumahan Kionsom yang ditutup sejak pagi.
“Pengguna kenderaan juga diminta lebih berhati-hati berikutan kejadian pokok tumbang yang tidak dijangka berlaku ketika ini.
“Pihak APM mengambil langkah bersiap-siaga memindahkan penduduk sekiranya keadaan banjir tidak terkawal dan penduduk diminta menghubungi pasukan penyelamat sekiranya berlaku kecemasan,” ujarnya. – SABAH MEDIA / FOTO APM SABAH






