Read Time:1 Minute, 33 Second
Oleh Normimie Diun
TAWAU: Perjuangan perwartaan tanah kampung, pemerkasaan belia dan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan menjadi antara fokus utama manifesto calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kukusan, Samsiah Usman, dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 ini.
Samsiah berkata perwartaan tanah menjadi keutamaan kerana masih terdapat kampung di kawasan Kukusan yang belum melalui proses itu, dan pihaknya berhasrat meneruskan usaha berkenaan secara lebih teratur sekiranya diberikan mandat.
“Kita mahu memastikan mana-mana kampung yang masih belum diwartakan dapat diselesaikan. Insya-Allah usaha ini akan diteruskan bagi memastikan kepentingan penduduk terpelihara,” katanya ketika ditemui Sabah Media di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk memastikan semua bentuk bantuan kerajaan disalurkan tepat kepada golongan yang memerlukan, selain memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan belia yang kini semakin aktif dalam pelbagai aktiviti termasuk sukan.
Samsiah berkata pihaknya juga akan membawa masuk pelaburan dan industri baharu bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, di samping merancang pembangunan infrastruktur bagi mewujudkan bandar Kukusan yang lebih tersusun dan selesa.
“Banyak kemudahan seperti bangunan kedai dan pasar yang sudah tidak ada atau telah dirobohkan. Kita akan usahakan untuk membinanya semula dengan lebih teratur dan sesuai dengan keperluan kawasan,” katanya.
Mengulas jangkaan jumlah keluar mengundi pada 29 November ini, Samsiah optimis peratusan itu mampu melebihi 70 peratus berdasarkan pemerhatiannya semasa hari pengundian awal kunjungan ke Markas KD Sri Tawau yang menunjukkan pengundi keluar awal bagi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Menjawab mengenai sambutan sepanjang kempen, beliau berkata respon yang diterima amat memberangsangkan termasuk daripada golongan belia, dengan kehadiran kira-kira 700 orang pada program belia di Kampung Jawa.
“Walaupun saya calon baharu, penduduk kampung yang berjumpa saya dapat mengenali siapa saya dan menilai kesungguhan yang ingin saya bawa. Alhamdulillah sambutan sangat baik,” katanya.
Beliau turut merayu sokongan pengundi untuk memastikan kesinambungan pentadbiran GRS di N.70 Kukusan.






