Read Time:1 Minute, 6 Second
Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD: Seramai 30 peserta mengambil bahagian dalam kursus bunga kawat yang dianjurkan oleh Biro Gerak Mesra Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk di sini baru-baru ini.
Program sehari itu dikendalikan oleh usahawan tempatan berpengalaman lebih 10 tahun dalam gubahan bunga dan hadiah, Farizah Hasan, yang membimbing peserta menghasilkan hiasan bunga kawat dan jambangan bunga moden.
Menurut Ketua Wanita GRS DUN Tempasuk, Nurul Fadzilah Noordin, kursus ini bertujuan memberi peluang kepada golongan wanita mempelajari seni kraf tangan moden dan menggunakannya sebagai idea untuk menjana pendapatan sampingan dari rumah.
“Hiasan bunga kawat kini mendapat tumpuan ramai. Melalui kursus ini, kami mahu membuka ruang kepada wanita untuk mendapatkan idea tempahan jualan online atau menjadi vendor dalam program berkaitan, sambil melahirkan lebih ramai usahawan kecil dalam industri kreatif tempatan,” katanya.
Beliau menambah bahawa program ini bukan sahaja memperkasakan wanita dari segi keusahawanan, tetapi juga meningkatkan keyakinan diri melalui hasil kraf yang cantik dan bernilai.
“Kursus sebegini selaras dengan manifesto GRS, iaitu Sabah Maju Jaya, yang mempromosi penjanaan hasil tempatan, serta Sabah Bersatu, yang memupuk semangat kekitaan dan silaturahim di kalangan masyarakat,” ujarnya.
Program yang berlangsung di Markas GRS Pusat Daerah Mengundi DUN Tempasuk itu menerima sambutan positif dan dijangka memberi inspirasi kepada peserta untuk terus berkarya dan menceburi bidang perniagaan kreatif. – SABAH MEDIA






