Read Time:1 Minute, 41 Second
BANDAU,— Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau, Datuk Redonah Bahanda, menegaskan komitmennya untuk terus memperkasa ekonomi wanita, keluarga dan komuniti setempat sebagai antara agenda utama manifestonya pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17).
Bercakap selepas menghadiri program bersama pengundi di PDM Pongon yang turut dihadiri Datuk Seri Hajiji Noor, Redonah mahu sokongan kukuh daripada masyarakat, khususnya pengundi wanita dan generasi belia di PDM tersebut, menjadi penyuntik semangat untuk beliau meneruskan perjuangan membangunkan Bandau.
Menurutnya, lebih 90 peratus yang hadir pada program itu merupakan pengundi di PDM Pongon iaiatu kawasan paling besar di Bandau dengan lebih 4,000 pengundi.
“Alhamdulillah, mereka sudah lama bersama saya. Isu-isu yang cuba dimainkan tidak memberi kesan kerana mereka tahu kerja saya bersama mereka sejak zaman belia lagi,” katanya.
Beliau berkata jentera wanita dan sokongan daripada anak-anak generasi kedua kini menjadikan struktur sokongan GRS di Bandau semakin kukuh dan tersusun.

Mengulas mengenai manifestonya , Redonah menekankan bahawa agenda ekonomi bukan perkara baharu dalam kerja buatnya, tetapi kesinambungan kepada usaha yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Saya melihat hobi, bakat dan kemahiran wanita di rumah—yang orang lain tidak tahu—boleh dijadikan sumber pendapatan keluarga. Banyak peniagaan besar bermula dari rumah,” jelas beliau.
Mengulas mengenai pengumuman PKR yang meletakkan dua calon di kawasan bandar, Redonah berkata pertindihan kerusi adalah lumrah dalam demokrasi.
“Ada 13 calon di Bandau. Tetapi saya yakin pengundi di sini bijaksana, mereka tidak akan membuang undi sia-sia,” katanya.
Beliau berharap pengundi memberikan keutamaan kepada calon GRS yang mewakili kerajaan negeri bagi memastikan kesinambungan pembangunan.
Menjelang hari pengundian yang akan berlangusng sabtu ini, , Redonah menyeru pengundi atas pagar agar tidak lagi teragak-agak membuat pilihan.
“Nombor saya paling atas. Tengok nama pertama, lambang pertama—terus pangkah. Masa depan kamu terletak pada undi kamu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa hanya kerajaan negeri yang stabil dapat memastikan pembangunan seimbang di Bandau.
“Untuk kita duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan kawasan lain, undilah GRS untuk kestabilan politik dan masa depan Bandau,” tambahnya.






