KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengesahkan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abd Halim Sidek Gulam Hassan, kekal dalam kertas undi meskipun beliau menyatakan hasrat untuk menarik diri.
Setiausaha SPR, Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, penarikan diri calon selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan calon tidak dibenarkan mengikut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981.
“SPR mengambil maklum tentang penarikan diri calon PH, namun menurut peraturan, beliau tetap kekal sebagai calon dalam pilihan raya bahagian N.62 Silam,” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Khairul berkata, langkah itu bermakna pengundi di kawasan berkenaan akan tetap menemui nama Abd Halim Sidek dalam kertas undi pada hari pengundian nanti.
SPR menegaskan semua pihak perlu mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan adil. – SABAH MEDIA






