Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Sikap rendah diri,adil jadikan calon GRS Tempasuk pilihan hati penduduk

Read Time:2 Minute, 13 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Lebih gemar disapa dengan panggilan nama berbanding gelaran yang diterima membuatkan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk Datuk Arsad Bistari lebih disenangi oleh penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Bagi masyarakat di kawasan itu, Arsad yang juga penyandang kerusi itu lebih mesra dipanggil ‘Sad’ berbanding gelaran ‘Datuk’ dan  bukanlah wajah asing bagi penduduk setempat.

Bagi penduduk, Michael Ching,72, calon kerusi itu sentiasa mudah dihubungi dan terbuka untuk bersama masyarakat termasuk di kedai-kedai makan tepi jalan.

“Dia seorang manusia yang sangat luar biasa, kita boleh ‘call’ dia bila-bila masa atau mengajak dia duduk minum kopi di gerai tepi jalan tanpa sebarang protokol atau iringan orang-orang politik, bercakap dengan dia umpama bercakap dengan kawan rapat atau ibarat anak beranak,” katanya.

“Sebelum dia jadi wakil rakyat lagi dia sudah berusaha bawa masuk projek-projek pembangunan kecil ke kawasan ini, bukan sahaja Tempasuk boleh di katakan hampir seluruh kawasan Kota Belud ini dia bantu, dia sendiri akan turun padang laksanakan apa-apa bentuk program berkaitan,

“Saya nampak semua usaha beliau untuk Kota Belud khususnya Tempasuk ini, dia bantu tanpa kira bangsa atau agama, dia bukan wakil rakyat lima tahun sekali muncul, dia sentiasa ada di sini boleh jumpa bila-bila masa” kata Michael yang lebih fasih berbahasa Bajau Samah daripada Bahasa Malaysia.

Oleh kerana kagum dengan kepimpinan dan usaha Arsad membangunkan kawasannya, Michael sanggup berpindah pusat membuang undi daripada DUN Usukan ke DUN Tempasuk.

Bagi Robinah Akbar,62, beliau mengakui tidak pernah mendapat layanan khas oleh penyandang kerusi itu walaupun mereka keluarga terdekat.

Jelasnya Arsad sentiasa berlaku adil kepada semua masyarakat, dia tidak pernah mengutamakan ahli keluarga sekiranya ada apa-apa bentuk program bantuan atau projek pembangunan.

“Beliau tidak pernah pilih kasih, dia jaga semua masyarakat Tempasuk sama rata, sebab itu dia di sayangi semua orang tidak kira tua atau muda,

“Masa dia mula-mula sertai politik pun dulu kami sudah boleh agak jiwanya memang mahu berbakti untuk orang bukan untuk jawatan,” katanya.

Sementara itu, Marali Adim,72, yang menjadi saksi kebangkitan Arsad ketika mula menceburkan diri dalam arena politik.

“Ciri-ciri kepimpinan itu sudah dapat dilihat dari zaman kecilnya, Sad yang akan mengetuai kawan-kawanya dalam apa-apa permainan mereka atau aktiviti kampung,

“Ketika diawal pembabitan Sad dalam bidang politik, kami nampak dia mempunyai aset pemimpin Kota Belud yang boleh di ketengahkan, oleh itu kami berusaha kuat untuk memastikan Sad mendapat jawatan Ketua Pemuda bahagian semasa di parti terdahulu,

“Pada ketika beliau berhasrat untuk beralih ke GRS, dia mempunyai alasan yang sangat kukuh, dia bukan meninggalkan penyokongnya ataupun para pengundi, tetapi beliau mahu pertahankan hak dan pembangunan yang sedang Tempasuk kecapi,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE