Read Time:2 Minute, 13 Second
KOTA KINABALU : Parti Gabungan Rakyat Sabah petang ini mampamerkan laporan pencapaian Kerajaan Sabah, Hala Tuju SMH 1.0 ( 2021-2025) sempena pilihanraya Dewan Undangan Sabah kali ke-17 yang sedang berlangsung.
Antara isi kandungan Laporan Kerajaan Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menunjukkan prestasi kukuh dalam memacu pembangunan negeri melalui pendekatan yang stabil, menyeluruh dan berorientasikan rakyat.
Sejak 2020, Sabah berjaya merekodkan kutipan hasil negeri tertinggi dalam sejarah selama tiga tahun berturut-turut, menandakan keyakinan pelabur serta keberkesanan pengurusan fiskal kerajaan.
Dengan lebih RM24 bilion pelaburan sektor pembuatan direkodkan, khususnya melalui kemasukan syarikat gergasi seperti Kibing, SK Nexilis, Esteel dan Curix, ribuan peluang pekerjaan baharu diwujudkan di kawasan perindustrian utama seperti KKIP, SOGIP, Sipitang dan Sikuati.
Di dalam buku laporan itu , GRS melaporkan tumpuan besar terhadap penyelesaian isu-isu asas yang lama membelenggu rakyat Sabah, termasuk elektrik, air dan jalan raya. Projek tenaga seperti Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS) 100MW, penjanaan hidro, gas dan Solar Berskala Besar (LSS) telah meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di seluruh negeri.
Di samping itu, projek mega Empangan Ulu Padas dan Cinta Mata Tawau serta Loji Rawatan Air baharu meningkatkan kapasiti air terawat Sabah kepada lebih 1,600 juta liter sehari. Pembinaan Pan Borneo dan pelaksanaan program SRT2/SRT3 pula mempercepatkan naik taraf jalan berturap untuk manfaat kawasan luar bandar.
GRS turut mencapai kemajuan penting dalam tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Daripada 29 tuntutan, sebanyak 12 telah berjaya diselesaikan, termasuk penyerahan kuasa gas dan elektrik kepada kerajaan negeri.
Peningkatan Pemberian Khas Persekutuan secara interim daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta pada 2025 merupakan pencapaian terbesar dalam sejarah Sabah, dan menjadi asas kepada pelaksanaan program kebajikan berskala besar seperti Bantuan SYUKUR serta Skim Insurans Rakyat Sabah—perlindungan asas percuma untuk semua rakyat negeri.
Di peringkat rakyat, inisiatif perumahan dan pendidikan turut dipertingkatkan. Program Rumah Mesra SMJ kini menyediakan sehingga 3,000 rumah setahun bermula 2025, dengan lebih 7,400 unit telah siap sehingga kini.
Dalam pendidikan, pelbagai skim bantuan seperti BUDI, BISBAH, BAKTI, BAik dan SUBFLY memudahkan pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah untuk meneruskan pengajian. Peruntukan biasiswa negeri turut meningkat kepada RM136 juta pada 2025. Program pembangunan belia seperti FELO SMJ, SYABAS dan SCENIC pula membuka ruang luas kepada generasi muda Sabah untuk terlibat dalam pentadbiran, inovasi dan keusahawanan.
Keseluruhannya, pencapaian GRS menggambarkan usaha berterusan untuk memodenkan ekonomi Sabah, memperkukuh asas pembangunan negeri, memelihara hak-hak dalam MA63 serta memastikan rakyat menikmati manfaat secara langsung. GRS menampilkan pendekatan pentadbiran yang stabil dan praktikal—berteraskan slogan “Rumah Kita, Kita Jaga”—dengan matlamat menjadikan Sabah sebuah negeri maju, makmur dan inklusif untuk semua.
Berikut adalah buku laporan tersebut






