Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

“Berkempenlah secara berhemah” – Abdul Ghani

Oleh SILAR PINIKIT

NABAWAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin mengingatkan jentera kempen agar berkempen secara berhemah dan mengelakkan sebarang ungkapan yang menyentuh sensitiviti kaum serta agama sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17.

Beliau yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan menegaskan bahawa kempen bukan medan untuk meninggikan suara, memburuk-burukkan lawan atau menyebarkan fitnah, sebaliknya ruang untuk meraikan proses demokrasi secara matang.

“Berkempenlah dalam suasana tenang dan elakkan kata-kata yang boleh merenggangkan hubungan persahabatan dan kekeluargaan. Jika kita diserang, jawab dengan fakta yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan bersama Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan jentera kempen N.46 Nabawan yang diadakan selepas proses penamaan calon pada Sabtu.

Dalam pilihan raya kali ini, Abdul Ghani berdepan saingan lapan calon lain iaitu Jekerison Kilan (KDM), Junilin @ Jubilin Kilan (UPKO), Laiji Binti Ompongoh (BN), Alfian Tun Ahmad Koroh (Warisan), Farney Binti Akon (PKS), Rejoh Bin Ondoh (PIS), Akuang Suan (STAR) dan Sayau Tangkap (PN).

Terdahulu, beliau turut melancarkan jentera bermotosikal “DGY Team” yang menghimpunkan 203 buah motosikal sebagai simbol kesiapsiagaan jentera menghadapi kempen.

LEAVE A RESPONSE