Kes Zara: Lima Kanak-Kanak Bakal Didakwa, SUHAKAM Tuntut Privasi dan Hak Mereka Dilindungi – Sabah News
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mengingatkan orang awam serta pihak media agar tidak mendedahkan identiti lima kanak-kanak yang bakal dituduh dalam kes melibatkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Dalam kenyataannya hari ini, SUHAKAM menegaskan bahawa semua kanak-kanak berhak dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], termasuk mendapatkan sokongan berasaskan trauma, bantuan perundangan serta layanan yang adil.
Menurut SUHAKAM, sebarang bentuk pendedahan sama ada secara langsung atau tidak langsung termasuk nama, gambar, sekolah atau maklumat lain yang boleh mengenal pasti tertuduh adalah dilarang sama sekali.
Seksyen 15 Akta 611 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, kepada mana-mana pihak yang melanggar peraturan tersebut.
SUHAKAM turut mengingatkan bahawa Mahkamah Bagi Kanak-Kanak adalah mahkamah tertutup seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 12 Akta 611, dan hanya pihak yang berkaitan sahaja dibenarkan hadir.
“Privasi kanak-kanak mesti dihormati, dan tumpuan utama adalah untuk mengelak stigma terhadap mereka,” jelas kenyataan itu.
Dalam masa sama, SUHAKAM menggesa platform media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok untuk memperketat dasar dalaman serta piawaian komuniti masing-masing bagi mengesan serta memadam kandungan yang boleh mengenal pasti kanak-kanak.
“Menunggu aduan dibuat sebelum mengambil tindakan hanya akan membolehkan kandungan berbahaya tersebar dengan lebih luas. Kelewatan bertindak boleh menimbulkan mudarat dan dianggap bersubahat,” tegas kenyataan itu.
SUHAKAM menutup kenyataan dengan mengingatkan bahawa keadilan mesti ditegakkan berdasarkan prinsip hak kanak-kanak dan kedaulatan undang-undang.