Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Ruji tolak gelaran ‘Heavyweight’, tekankan peluang calon adalah sama

Read Time:1 Minute, 50 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai, Datuk Ruji Ubi, menegaskan beliau tidak melihat dirinya sebagai calon ‘heavyweight’ meskipun namanya sering disebut sedemikian dalam gelanggang pilihan raya kali ini.

Sebaliknya, katanya, setiap calon mempunyai peluang sama rata dan kemenangan bergantung kepada penerangan dasar serta keyakinan pengundi terhadap kemampuan seseorang calon membawa pembangunan kepada rakyat.

“Mungkin orang melihat begitu kerana saya diminta bersara awal dan kembali ke kampung, lalu diletakkan di Merotai.

“Tapi bagi saya, semua calon ada peluang sama. Yang penting ialah bagaimana kita menjelaskan dasar, keadaan kerajaan dan trek rekod saya semasa menerajui tiga kementerian serta satu agensi pusat sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon, semalam.

Ruji berkata, walaupun ada pihak mendakwa beliau ‘baru turun padang’, hakikatnya sepanjang berkhidmat sebagai pegawai kerajaan, beliau sentiasa turun ke lapangan di seluruh negara termasuk Merotai, Kalabakan dan Tawau.

“Sebenarnya, sejak dalam kerajaan lagi saya memang kerap turun padang. Jadi label calon heavyweight itu bukan keutamaan.

“Apa yang penting ialah komitmen dan apa yang saya ingin bawa kepada rakyat dalam lima tahun akan datang,” katanya.

Mengulas proses penamaan calon, Ruji berkata kehadiran penyokong daripada semua parti cukup meriah sekali gus mencerminkan kematangan politik rakyat Sabah.

“Kita raikan demokrasi pilihan raya kali ini. Harapan kita, semua proses daripada penamaan calon, kempen dan hari mengundi pada 29 November berjalan lancar,” katanya.

Beliau turut mengajak rakyat membuat pilihan yang mampu membawa Sabah melonjak lebih jauh dalam tempoh lima tahun akan datang.

Ruji, yang memilih untuk bersara awal sebelum berpolitik, berkata keputusan kembali ke kampung halamannya dibuat kerana beliau mahu menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam bidang pembangunan, sumber manusia dan pentadbiran untuk masa depan Sabah.

“Saya ada misi yang jelas. Saya balik kampung kerana mahu mencurah pengalaman saya kepada negeri ini. Saya mohon agar pengundi Merotai membuka hati memilih saya untuk terus berkhidmat,” katanya.

Beliau berkata, sokongan terhadapnya semakin kukuh apabila PH, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bersetuju memberikan komitmen untuk membantu jentera di Merotai.

“Alhamdulillah, Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) bersama kita, GRS bersama kita dan parti Kerajaan Perpaduan juga bersama kita. Mereka memberi komitmen untuk hadapi PRU17 Sabah ini secara satu pasukan,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE