Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

4,300 pegawai, anggota PDRM ditugaskan sempena penamaan calon PRU DU Sabah ke-17 esok

Read Time:1 Minute, 34 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Seramai 4,300 pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan ditugaskan sempena hari penamaan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 yang berlangsung esok (15 Nov).

Mohd Khalid (dua kiri) bersama Jauteh (kiri) semasa sidang media di sini, hari ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata penugasan itu adalah sebahagian daripada persiapan keselamatan di 25 pusat penamaan calon di seluruh negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan amanat sempena Perjumpaan Khas Ketua Polis Negara bersama petugas PDRM bagi PRU DUN Sabah Ke-17, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini hari ini.

Menurutnya, seramai 9,300 pegawai dan anggota ditempatkan di seluruh Sabah bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman terjamin sepanjang proses pilihan raya di 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Beliau berkata penugasan itu turut membabitkan kerjasama rapat Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun, termasuk dalam aspek kawal selia keselamatan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.

“Kita mahu memastikan semua berjalan lancar, termasuk kawalan trafik serta kemudahan untuk semua pihak terlibat. Petugas CID juga diarahkan melakukan penugasan khusus,” katanya.

Mohd Khalid turut memaklumkan bahawa polis mempunyai pasukan bantuan seramai 1,200 anggota, yang akan digerakkan bergantung kepada penilaian keperluan semasa oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, terutama mengambil kira perubahan cuaca Monsun Timur Laut.

Mengulas kawasan berisiko, beliau berkata kira-kira 15 lokasi dikenal pasti sebagai ‘hotspot’, termasuk sekitar Kota Kinabalu dan kawasan pantai timur Sabah, melibatkan isu politik dan aktiviti beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan tertentu.

Beliau berkata pasukan Light Strike Force (LSF) dan Public Order Riot Unit (PORU) turut akan digerakkan sekiranya terdapat insiden melibatkan kekerasan atau gangguan ketenteraman awam.

“Saya menyeru semua parti politik, NGO dan pertubuhan untuk mengekalkan keamanan. Jangan cetuskan provokasi, isu perkauman atau fitnah. Kita mahu suasana harmoni Sabah terus kekal demi rakyat negeri ini dan seluruh Malaysia,” katanya.

LEAVE A RESPONSE