Read Time:1 Minute, 55 Second
RANAU: Sabah perlu stabilkan keadaan politiknya dahulu sebelum dapat mengikuti jejak langkah Sarawak kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun.
Menurut beliau, satu peluang terbaik untuk mengekalkan kestabilan politik negeri ini adalah dengan memberi mandat baharu kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17.
“Sejak daripada tahun 1963 Sarawak diperintah oleh parti yang sama, cuma nama yang berlainan. Itulah sebab stabil politik mereka.
“Bayangkan, baru enam Ketua Menteri atau sekarang dipanggil Premier untuk Sarawak setakat ini, sedangkan untuk Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor adalah Ketua Menteri yang ke-16.
“Dari sini sahaja sudah kita tahu pergolakan politik kita melalui sejarah yang berlainan. Evolusi sejarah politik kita berlainan dengan Sarawak dan kita tidak boleh bandingkan kita dengan Sarawak kerana mereka stabil,” katanya.
Tambah beliau, kestabilan politik di Sarawak membolehkan mereka memajukan negeri mereka dengan baik, dan bukannya asyik menumpukan masa dan tenaga dengan berbalah dan menjatuhkan kerajaan.
Masidi berkata, dalam tempoh lima tahun yang lepas, Kerajaan GRS telah membuktikan kemampuannya untuk memastikan kestabilan politik berlaku di negeri ini, dan perkara tersebut perlu diteruskan.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Ramah Mesra Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Sabah dengan YB DSP Masidi Manjun yang diadakan di Lohan Rest House, baru-baru ini.
Dalam ucapannya, beliau menyentuh tentang pencapaian GRS dalam meningkatkan ekonomi negeri ini, dan juga pembangunan-pembangunan yang berlaku di daerah ini berkenaan jalan raya, bekalan air bersih dan juga bekalan eletrik.
Berkenaan sambutan majlis itu, Masidi mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya merealisasikan program berkenaan yang cukup bermakna kepada semua peserta.
Kehadiran beliau disambut dengan penuh meriah dan kehangatan di mana program tersebut turut memberi peluang kepada beliau dan lain-lain bertemu dengan sahabat handai dan rakan-rakan sebaya.
Persatuan Pesara Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia (5PMDC) cawangan Ranau merupakan satu persatuan yang sangat aktif menjaga kebajikan para pesara pendidik.
Selain itu, 5PMDC juga menjalankan pelbagai program dalam komuniti dan menunjukkan semangat juang luar biasa melalui aktiviti kemasyarakatan, program pendidikan, gotong-royong dan khidmat sosial.
Ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk terus memimpin, berbakti dan memberi inspirasi kepada generasi muda, di mana kesatuan seumpama itu menjadi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat khususnya di daerah Ranau.
Ianya dapat merealisasikan aspirasi #KITAORANGRANAU dengan menonjolkan kualiti masyarakat Ranau.






