Read Time:2 Minute, 21 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Calon muda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Johainizamshah Johari, memperkenalkan pendekatan politik berasaskan nilai dan perkhidmatan apabila diumumkan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N58 Lamag pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Johainizamshah, 39, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Lamag, menzahirkan penghargaan kepada Presiden GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kepercayaan yang diberikan untuk mewakili generasi muda dalam arena politik negeri.
“Pertama sekali, saya ingin mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor kerana memberi peluang kepada saya sebagai calon anak muda yang akan bertanding dalam pilihan raya akan datang ini,” katanya kepada Sabah Media selepas Majlis Pengumuman Rasmi Calon GRS PRU DU Sabah ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa di sini, hari ini.
Beliau berkata, tanggungjawab itu bukan sekadar amanah politik, tetapi satu peluang untuk memperjuangkan pendekatan politik yang lebih murni dan berfokus kepada khidmat kepada rakyat.
“Kita menyertai politik bukan semata-mata untuk menang pilihan raya, tetapi untuk menerjemahkan politik baharu iaitu politik nilai dan politik perkhidmatan.
“Melalui dasar-dasar kerajaan negeri sepanjang lima tahun ini, niat kita adalah membantu golongan miskin tegar yang berdaftar dalam e-Kasih dan memiliki rumah daif supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ),” jelasnya.
Johainizamshah turut menekankan keazaman untuk menoktahkan isu pemilikan tanah yang sudah tertangguh lama serta memastikan pembangunan konkrit diteruskan di Lamag, termasuk meneruskan kejayaan projek Bandar Baharu Seri Medan.
“Kita mahu pembangunan itu benar-benar diterjemahkan kepada rakyat. Selain itu, tumpuan kita juga kepada peningkatan ekonomi anak muda dan suri rumah yang masih di bawah garis kemiskinan,” katanya.
Mengulas mengenai saingannya, penyandang DUN Lamag yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Johainizamshah menganggap perlawanan itu sebagai cabaran sihat dalam demokrasi.
“Bagi saya, lawan kita juga manusia. Setiap manusia ada kekuatan dan kelemahan masing-masing. Yang penting, kita membawa nilai baharu dan semangat baharu untuk rakyat Lamag,” katanya.
Menurutnya, jumlah pengundi di DUN Lamag adalah lebih 13,000 orang, dengan sekitar 8,300 merupakan pengundi muda berumur antara 18 hingga 41 tahun yaknikumpulan yang bakal menjadi penentu perubahan.
“Golongan muda ini tidak boleh dipandang ringan. Dengan kesedaran dan semangat baharu, saya yakin mereka akan bersama kita membawa perubahan.
“Kita bukan menolak pemimpin lama, tetapi mencari sesuatu yang lebih baik seiring dasar kerajaan negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor,” ujarnya.
Johainizamshah turut menyeru agar pengundi-pengundi di Lamag melihat calon baharu bukan sebagai lawan, tetapi sebagai sebahagian daripada masyarakat sendiri.
“Calon yang datang ini bukan musuh kamu, tetapi keluarga, sahabat dan anak muda dari kampung kamu sendiri.
“Gunakan kuasa undi untuk memilih masa depan yang lebih baik lima tahun akan datang. Beri peluang kepada kami untuk membawa harapan, wajah dan sinar baharu kepada rakyat Lamag,” katanya.






