Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Rina Jainal digantung jawatan Timbalan Presiden dan keahlian PHRS selama tiga tahun

Read Time:1 Minute, 45 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) menggantung jawatan dan keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Rina Jainal selama tiga tahun berkuat kuasa serta-merta, selepas didapati melanggar disiplin parti.

Setiausaha Agung PHRS, Christy Chok, dalam satu kenyataan hari ini berkata, keputusan itu dibuat selepas Majlis Tertinggi menerima syor Jawatankuasa Disiplin parti berhubung hasil siasatan yang dijalankan pada 29 Jun 2024.

Menurutnya, tindakan diambil berikutan beberapa pelanggaran disiplin dan kenyataan terbuka oleh Rina yang didakwa menjejaskan imej parti serta Presiden PHRS.

“Walaupun pada masa tersebut PHRS masih memberi ruang kepada Datuk Rina, namun tindakan berterusan beliau telah menghancurkan nama baik parti sehinggakan masyarakat luar khususnya di Kukusan terpengaruh dengan fitnah dan tomahan terhadap PHRS dan Presiden,” katanya.

Christy berkata, PHRS memandang serius perkara itu dan memutuskan untuk menguatkuasakan syor Jawatankuasa Disiplin yang menetapkan penggantungan jawatan Timbalan Presiden dan keahlian parti selama tiga tahun, berkuat kuasa serta-merta.

PHRS turut menjelaskan mengenai penularan surat pelantikan calon parti bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.70 Kukusan, dengan menegaskan keputusan untuk tidak mencalonkan penyandangnya dibuat secara konsensus.

Kenyataan itu menyebut, sepanjang hampir dua tahun memegang jawatan, Rina didapati gagal membawa dan mempromosikan nama PHRS dalam sebarang aktiviti kemasyarakatan serta gerak kerja di kawasan DUN Kukusan.

“Ini termasuk tidak menggunakan atau meletakkan logo dan bendera parti di Pejabat ADUN seperti yang wajib dilakukan oleh wakil rakyat yang bernaung di bawah parti,” jelasnya.

Christy menjelaskan, berikutan banyak aduan diterima daripada ahli di peringkat akar umbi, kepimpinan parti telah memutuskan untuk menugaskan Ketua Bahagian Kukusan, Samsiah Usman, bagi meneruskan urusan pergerakan ahli dan berkhidmat kepada rakyat di kawasan itu.

“Ini termasuk membabitkan kerja pewartaan empat perkampungan di Lapangan Terbang Lama, Tawau.

“Tindakan penyandang kerusi DUN Kukusan yang tidak bergerak seiring dengan parti telah merencatkan usaha PHRS memperjuangkan hak pewartaan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan tidak mencalonkan semula penyandang DUN Kukusan dibuat selepas perbincangan bersama barisan Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua-Ketua Cawangan PHRS di kawasan berkenaan.

Christy menegaskan, PHRS meletakkan kepentingan parti dan kestabilan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai keutamaan bagi memastikan usaha pembangunan di DUN Kukusan dapat diteruskan dengan lebih berkesan.

LEAVE A RESPONSE