Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Juhari Janan tidak gentar hadapi bekas rakan ‘sepasukan’ di DUN Sukau

Read Time:1 Minute, 46 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

SUKAU : Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau Datuk Juhari Janan menegaskan beliau tidak gentar untuk berdepan dengan bekas rakan ‘sepasukan’ dalam persaingan merebut kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Katanya, pertandingan kali ini dianggap sebagai cabaran baharu dan satu peluang untuk membuktikan kekuatan serta keutuhan sokongan terhadap parti lokal.

“Dulu saya bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN), tetapi kali ini saya bertanding atas parti lokal iaitu GRS.

“Insya-Allah, ini merupakan satu ‘comeback’ untuk saya,” katanya ketika ditemui Sabah Media selepas majlis pengumuman calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai calon GRS yang diumumkan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-16, Juhari bertanding atas BN di kerusi Kuamut dengan jumlah undi sebanyak 1,547 selepas ‘berpindah’ dan bertanding ke Sukau atas tiket GRS pada PRU Sabah kali ini.

Mengulas mengenai saingan di kawasan tersebut, beliau mengakui Sukau merupakan kawasan tradisi BN namun yakin GRS mampu memberi tentangan hebat.

“Di kawasan ini memang kawasan kepunyaan BN.   Kita melawan mereka, jadi kita kena kerja lebih banyak untuk capai kemenangan.

“Bagi calon Warisan pula, saya tidak menidakkan kekuatan mereka, tetapi insya-Allah kita boleh lawan,” katanya.

Sementara itu, Juhari  berkata, pencalonan kali ini menunjukkan keseimbangan antara calon muda, berpengalaman dan veteran, sesuatu yang disifatkannya sebagai kekuatan utama GRS dalam PRU akan datang.

“Alhamdulillah, pencalonan kali ini menggabungkan antara orang muda, orang lama dan veteran. Gabungan ini berpotensi besar untuk menawan kawasan yang ditandingi,” katanya.

Beliau turut menambah bahawa calon-calon yang dipilih mempunyai kewibawaan dan keterampilan tinggi untuk memastikan kesinambungan pentadbiran kerajaan GRS pada masa depan.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru pengundi muda agar memberi sokongan padu kepada GRS yang menurutnya sentiasa memberi peluang luas kepada golongan belia.

“Saya berharap pengundi muda, terutama yang berumur 18 tahun ke atas, memilih parti GRS. Banyak bantuan kerajaan disalurkan untuk anak muda. Jadi marilah kita bersama-sama menyokong kerajaan GRS demi masa depan generasi muda kita,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE