Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Kerajaan Persekutuan tidak rayu isu 40 peratus hasil Sabah, rundingan disegerakan – AGC

Read Time:1 Minute, 4 Second

KOTA KINABALU :  Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap pemberian khas negeri Sabah berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, ia adalah susulan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu dalam Permohonan Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.

“Keputusan ini adalah selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri pada 11 November 2025, yang turut membincangkan implikasi penghakiman tersebut.

“Jabatan Peguam Negara menekankan bahawa Kerajaan Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera bagi memastikan pelaksanaan pemberian khas ini berjalan lancar,” menurut kenyataan itu di sini pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Peguam Negara telah memberikan nasihat dan pandangan kepada Jemaah Menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.

Ini termasuk dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah disyaki menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan sejak tahun 1974.

Selain itu, penghakiman mendakwa kajian semula selepas tahun 2021 menyalahi undang-undang, tidak rasional, serta tidak selaras dengan prosedur yang wajar.

Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa walaupun ia menghormati prinsip 40 peratus hasil, rayuan akan dibuat berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman bagi menegakkan keadilan dan memastikan prosedur undang-undang dipatuhi. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE