Read Time:1 Minute, 5 Second
Oleh Eviana Mazinal
KOTA BELUD: “Pilih wakil rakyat yang dekat di hati, bukan wakil korporat,” demikian pesan Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan kepada penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.
Beliau berkata, rakyat perlu menilai calon berdasarkan keprihatinan dan kesungguhan mereka membantu masyarakat, bukan hanya pada janji manis semasa pilihan raya.
“Dengan adanya pemimpin tempatan yang lahir dan bekerja di sini, tidak ada sebab untuk memilih pemimpin luar yang hanya muncul apabila musim pilihan raya, sambil menjanjikan bulan dan bintang,” katanya.
Menurut Khairul Firdaus, pemimpin yang benar-benar berkhidmat akan sentiasa mudah dihubungi dan hadir apabila rakyat memerlukan bantuan.
“Kita perlu lihat siapa yang mewakili kawasan kita, adakah dia benar-benar mahu memberikan perkhidmatan dan mempunyai perancangan untuk membangunkan masyarakat. Saya percaya calon tempatan lebih memahami keperluan rakyat dan mampu berkhidmat dengan lebih baik,” katanya.
Beliau turut menyarankan agar rakyat mengekalkan wakil rakyat sedia ada sekiranya mereka telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.
Khairul Firdaus dalam masa sama memuji komitmen bekas ADUN Tempasuk, Datuk Arsad Bistari yang disifatkan sebagai pemimpin berdedikasi dan berjaya membawa pelbagai agensi kerajaan serta program pembangunan ke kawasan berkenaan.
Terdahulu, beliau merasmikan majlis Pisompuruan Komuniti Tempasuk anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat Rakyat N.09 Tempasuk di sini pada Selasa.






