Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Joniston puji masyarakat Kiulu, kerjasama jadikan model pelancongan berasaskan komuniti

Read Time:1 Minute, 38 Second

Oleh Raul G

KIULU: Masyarakat Kiulu wajar dipuji atas semangat perpaduan dan kerjasama yang berjaya menjadikan kawasan itu sebagai model pelancongan berasaskan komuniti, bukan sahaja di Sabah namun seluruh Malaysia, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata, usaha penduduk kampung, pengusaha pelancongan dan persatuan tempatan mengukuhkan kedudukan Kiulu sebagai contoh utama pelancongan luar bandar yang mampan selain menjana peluang ekonomi sebenar kepada masyarakat.

“Apa yang menjadikan Kiulu luar biasa bukan sahaja keindahan alam semula jadinya, tetapi juga perpaduan rakyat,” katanya pada Sesi Sialog bersama kira-kira 80 wakil pelancongan daripada Persatuan Pelancongan Kiulu.

Turut hadir dalam sesi dialog berkenaan, Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Meijin Maginggow dan Pembantu Pengurus Unit Produk STB, Christina Wong.

Menurut Joniston, beliau turut menggalakkan komuniti untuk terus mengenal pasti produk pelancongan yang berpotensi menambah nilai serta meneruskan perancangan pelancongan Kiulu khususnya melalui inisiatif agro-pelancongan dalam usaha memasarkan pelancongan Kiulu ke peringkat antarabangsa.

Joniston, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dan kini berada pada minggu terakhirnya sebagai Pengerusi STB, berkata pihak lembaga akan terus menyokong serta memperkasakan komuniti pelancongan luar bandar.

“Kepimpinan mungkin berubah, tetapi komitmen kami tetap sama. Saya yakin STB akan terus menjadi rakan kepada komuniti seperti Kiulu dalam membimbing, memperkasakan serta memastikan pertumbuhan pelancongan terus berkembang secara mampan, inklusif dan diiktiraf di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Meijin memuji usaha Joniston dalam membangunkan pelancongan komuniti luar bandar di Kiulu, sambil menyatakan bahawa kepimpinannya telah membantu menjadikan aspirasi penduduk setempat satu kenyataan.

“Dulu, pelancongan hanya sekadar impian, tetapi kini kami berada dalam realiti, dan masyarakat kini menikmati hasilnya.

“Tanpa usaha awal Datuk Joniston, Kiulu mungkin masih bergantung kepada syarikat-syarikat swasta,” kata Meijin sambil menambah bahawa inisiatif pelancongan berasaskan komuniti kini mewujudkan lebih 400 peluang pekerjaan.

Joniston, dijangka akan bertanding semula bagi kerusi DUN Kiulu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 yang bakal diadakan tidak lama lagi, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 15 November dan hari pengundian pada 29 November.

LEAVE A RESPONSE