Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Jangan Buat Kesimpulan Sendiri, Keputusan GRS Sama Ada Solo atau Gabung Terserah Pucuk Pimpinan – Masiung – Sabah News

SANDAKAN: Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah mengingatkan pemimpin dan jentera parti di peringkat bahagian agar tidak membuat andaian sendiri berhubung hala tuju Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sama ada bergerak secara solo atau bergabung dengan parti nasional menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Menurut beliau, sebarang keputusan berkenaan strategi politik gabungan itu wajar diserahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.

“Sama ada GRS bergerak solo atau bergabung dengan parti nasional, biarlah diputuskan oleh pimpinan tertinggi. Jangan buat kesimpulan sendiri,” tegasnya ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Gagasan Rakyat Sukau, di Sandakan, baru-baru ini.

Masiung yang juga Pengerusi Penyelaras Gagasan Rakyat Zon 10, mengadakan lawatan bersama timbalannya, ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, bagi meninjau kesiapsiagaan jentera parti di kawasan Sukau.

Walaupun mengakui Gagasan Rakyat bertanding dalam keadaan ‘underdog’ di kawasan itu, beliau yakin dengan persiapan jentera yang rapi, Gagasan Rakyat mampu mencipta kejutan di PRN-17.

“Saya pesan agar jangan hanya percaya laporan atas kertas. Pemimpin kanan perlu turun padang dan lihat sendiri realiti di lapangan,” katanya lagi.

Beliau turut menyeru sayap Pemuda, Wanita dan Beliawanis parti untuk bersiap siaga menangani fitnah dan tohmahan pembangkang yang dijangka semakin sengit menjelang pilihan raya.

Masiung menyelar naratif “kerajaan gagal” yang sering dimainkan pembangkang, sambil menegaskan bahawa rekod pencapaian kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bercakap dengan sendirinya.

“Hasil ekonomi negeri meningkat saban tahun, kini mencatat hampir RM10 bilion, satu rekod sejarah yang tidak pernah dicapai mana-mana kerajaan terdahulu, termasuk BN dan Warisan,” katanya.

Beliau menegaskan lonjakan kutipan hasil kerajaan negeri merupakan bukti jelas kemampuan dan ketelusan pentadbiran GRS dalam membawa pembangunan berasaskan realiti, bukan retorik politik.

LEAVE A RESPONSE