Read Time:1 Minute, 16 Second
Oleh Silar Pinikit
NABAWAN : Kepimpinan berteraskan kebajikan dan keharmonian terus menjadi pegangan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin yang konsisten turun padang membantu masyarakat tanpa mengira latar belakang atau fahaman politik.
Dalam kunjungan Majlis Gabungan Gereja-Gereja Kristian Daerah Nabawan baru-baru ini, Abdul Ghani menegaskan bahawa setiap masyarakat di kawasan itu berhak menerima bantuan apabila diperlukan, termasuk bantuan kewangan untuk rawatan kesihatan, aktiviti komuniti dan keperluan rumah ibadat.
“Siapa pun yang perlukan bantuan, kita bantu. Sama ada untuk rawatan di klinik atau hospital, atau bantuan kepada badan keagamaan — semua kita salurkan ikut keperluan,” katanya.
Jelas beliau, bantuan kepada masyarakat Kristian ketika perayaan Krismas dan program gereja sentiasa diusahakan, sama seperti bantuan yang diberikan kepada masyarakat Islam ketika Hari Raya dan aktiviti masjid atau surau.
“Tidak kira agama atau kaum, saya membantu kerana kita semua masyarakat Nabawan,” katanya.
Dalam masa yang sama, Abdul Ghani mengingatkan agar rumah ibadat tidak dijadikan platform politik, sebaliknya kekal sebagai tempat penyatuan umat.
“Masjid dan gereja mempunyai komuniti daripada pelbagai parti politik. Jadi kalau ada perjumpaan keagamaan, khususkan untuk agama sahaja, jangan dicampur adukkan dengan politik,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu penting agar keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Nabawan terus terpelihara.
Pengerusi Majlis Gabungan Gereja-Gereja Kristian Daerah Nabawan, Daud Anggau, turut merakamkan penghargaan kepada Abdul Ghani atas sumbangan berterusan kepada gereja-gereja di daerah berkenaan.
Lawatan tersebut sekali lagi memperlihatkan komitmen Abdul Ghani dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat dan memupuk hubungan erat antara pemimpin dan masyarakat. SABAH MEDIA






