Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Armizan tegas tidak akan bertanding di PRU DU Sabah ke-17

Read Time:1 Minute, 12 Second

Oleh Normimie Diun

PENAMPANG: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali sekali lagi menegaskan bahawa beliau tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU Sabah) ke-17 akan datang.

Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata demikian sebagai menjawab khabar angin yang tular di media sosial baru-baru ini kononnya beliau akan bertanding di kerusi DUN Pantai Manis, malah disebut-sebut sebagai calon Ketua Menteri pada masa akan datang.

“Saya fikir isu mengenai bertanding di Pantai Manis ini sudah pun saya jawab sebelum ini. Lama sudah saya tidak berhajat untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN, termasuklah Pantai Manis.

“Kalau saya ada 48 jam sehari mungkin saya boleh pertimbangkan, tetapi sama seperti semua orang, saya hanya ada 24 jam sehari,” kata Armizan yang juga menggalas tugas sebagai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan program “My Gaya Sabah” 2025 di ITCC Penampang, hari ini.

Menurut Armizan, tanggungjawab yang digalasnya kini sebagai Ahli Parlimen sudah cukup besar dan mencabar.

“Saya fikir tanggungjawab sedia ada ini sudah cukup mencabar dan besar. Seperti yang saya sebut sebelum ini, saya mengharapkan ada seorang ADUN Pantai Manis, pastinya daripada GRS, yang boleh saya bekerjasama rapat.

“Sekarang kita ada dua ADUN Kawang dan Limbahau, jika ditambah lagi seorang ADUN Pantai Manis, insya-Allah kita akan menjadi pasukan terbaik untuk membawa perubahan yang lebih bermakna dan bernilai untuk Parlimen Papar,” jelasnya.

LEAVE A RESPONSE