PUTATAN : Program MOTAC Bersama Komuniti Petagas menjadi platform penting bagi mengukuhkan hubungan antara masyarakat berbilang kaum di daerah ini, sekali gus menyemarakkan semangat perpaduan selaras aspirasi negara.
Pengerusi Ahli Lembaga Peladang Muda Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit, berkata usaha berterusan seperti ini amat signifikan dalam memastikan keharmonian dan kebersamaan antara komuniti pelancongan serta penduduk setempat sentiasa terpelihara.
Menurutnya, penglibatan masyarakat dalam program sebegini bukan sahaja memupuk sikap saling menghormati, tetapi turut mengukuhkan identiti budaya yang menjadi kebanggaan bersama.

Program yang berlangsung di Tapak Mobile Kiosk Putatan itu diserikan dengan pelbagai pengisian menarik, termasuk Pertandingan Nyanyian Lagu Etnik, Pertandingan Memasak Kuih Tradisional Penjaram, Pertandingan Karom serta persembahan budaya Betitij dan Limbai.
Semua aktiviti mendapat sambutan meriah daripada masyarakat setempat yang hadir berbilang lapisan umur.
Penganjuran kali ini dilaksanakan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Amal Kebajikan Tempasuk Kota Belud serta Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, sebagai komitmen bersama dalam mencungkil bakat, memelihara warisan budaya, dan mengukuhkan perpaduan komuniti.
Program tersebut sekali lagi membuktikan bahawa seni, budaya dan aktiviti rakyat mampu menjadi jambatan penyatuan yang paling berkesan dalam membina masyarakat harmoni. – SABAH MEDIA






