Read Time:1 Minute, 39 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Penggunaan teknologi dan Kecerdasan Buatan (AI) kini menjadi keperluan penting bagi membantu usahawan mikro meningkatkan daya saing, terutamanya dalam aspek pengeluaran, perkhidmatan dan pemasaran produk.
Ketua Penerangan Parti Gagasan (PGRS) merangkap Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, usahawan masa kini perlu mengadaptasi kemajuan teknologi bagi memastikan perniagaan mereka kekal relevan dan mampu menembusi pasaran lebih luas, bukan sekadar di peringkat tempatan tetapi juga antarabangsa.
“Oleh kerana kita kini hidup dalam dunia tanpa sempadan, usahawan perlu menggunapakai segala kelebihan teknologi seperti AI serta platform media sosial seperti Facebook dan Instagram untuk memasarkan produk mereka kepada khalayak yang lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Program Transformasi Usahawan Mikro anjuran Kelab Wanita Ikon Sabah di ruang legar T2 Tawau di sini, hari ini.
Menurutnya, penggunaan AI bukan hanya terhad kepada pemasaran digital, tetapi juga boleh dimanfaatkan dalam proses penghasilan produk dan perkhidmatan, sekali gus membantu meningkatkan kualiti serta kecekapan pengurusan perniagaan.
“Kerajaan telah menyediakan pelbagai ruang dan peluang latihan kemahiran kepada pengusaha bagi memanfaatkan teknologi baharu ini.
“Saya cadangkan agar Kelab Wanita Ikon Sabah berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan untuk menganjurkan kursus kemahiran berkaitan AI dan teknologi tinggi bagi memperkasakan lagi usahawan wanita di Tawau,” ujarnya.
Nizam turut menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor sentiasa komited memperkasa keusahawanan wanita melalui pelbagai inisiatif termasuk bantuan dana dan latihan kemahiran yang disalurkan menerusi Jabatan Hal Ehwal Wanita dan Kementerian Perindustrian Negeri Sabah.
Sementara itu, beliau turut menyampaikan penghargaan kepada penganjur program, serta dua ikon wanita tempatan iaitu Mardiana Mada dan Bela Mustari yang menjadi inspirasi kepada golongan wanita menceburi bidang perniagaan.
“Dengan adanya sokongan kerajaan serta kesediaan usahawan memanfaatkan teknologi, saya yakin kita mampu melahirkan lebih ramai usahawan mikro yang bukan sahaja berjaya di peringkat negeri, tetapi juga di peringkat global,” katanya.
Program sehari itu menghimpunkan usahawan wanita tempatan dengan objektif memperkasa keusahawanan mikro dan memupuk minat golongan muda terhadap bidang perniagaan berasaskan inovasi dan teknologi.






