Read Time:1 Minute, 41 Second
KOTA BELUD : Penduduk Kota Belud dan kawasan sekitarnya dijemput hadir memeriahkan Program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 Peringkat Zon Pantai Barat Utara, yang akan berlangsung pada Ahad di Dataran Kilapi, Kampung Rampayan Laut, bermula jam 7 pagi.
Program yang dianjurkan oleh Kumpulan Yayasan Sabah (KYS) itu dijangka menjadi tumpuan penduduk setempat kerana menawarkan pelbagai peluang dan kemudahan kepada masyarakat luar bandar, termasuk bantuan pendidikan, peluang keusahawanan serta khidmat nasihat terus daripada jabatan dan agensi kerajaan.
Pengarah Yayasan Sabah, Dato’ Sri Gulamhaidar Khan Bahadar, berkata jerayawara itu merupakan usaha berterusan Yayasan Sabah untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan dan rakyat.

“Program ini menjadi platform bagi masyarakat luar bandar berurusan secara langsung dengan jabatan dan agensi kerajaan di bawah satu bumbung, di samping memperoleh maklumat tepat dan menyeluruh mengenai pelbagai inisiatif yang disediakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Antara pengisian utama program ialah Taklimat Bantuan Pendidikan Kumpulan Yayasan Sabah dan Taklimat Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Gulamhaidar berkata, KYS menawarkan rebat istimewa sebanyak 30 peratus kepada peminjam Pinjaman Pengajian Tinggi Yayasan Sabah yang membuat bayaran penuh sekaligus melalui Program Rebat Istimewa Madani 30 peratus, yang berlangsung sehingga 31 Disember 2025.
“Peminjam boleh memanfaatkan peluang ini untuk mendapatkan panduan lanjut tentang prosedur pembayaran balik pinjaman, selain berunding secara terus dengan pegawai Yayasan Sabah di lokasi pameran,” tambahnya.
Program sehari itu juga menampilkan pelbagai aktiviti menarik dan bermanfaat untuk seisi keluarga, termasuk pameran pendidikan oleh University College Sabah Foundation (UCSF), Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS), Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS).
Setiap agensi akan memaparkan pelbagai maklumat terkini mengenai peluang pendidikan, bantuan biasiswa dan inisiatif pembangunan modal insan bagi manfaat pelajar dan ibu bapa.
Orang ramai khususnya penduduk di sekitar Kota Belud diseru hadir bagi memeriahkan acara komuniti ini yang bukan sahaja sarat maklumat, tetapi juga mencerminkan komitmen Yayasan Sabah dalam menjayakan agenda pembangunan rakyat di negeri ini. – SABAH MEDIA






