Oleh Raul G
TAMPARULI: Kegembiraan sekumpulan remaja bermandi-manda berubah menjadi tragedi apabila salah seorang rakan mereka ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Kampung Kimonsi, di sini.
Terdahulu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sebaik pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.05 petang, semalam berhubung kehilangan mangsa berusia 16 tahun itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Mohamad Nor Amit, berkata mayat remaja itu ditemui pada jam 9.15 pagi, hari ini oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA).
“Mangsa dikenali Randell Junior Rony, ditemui di dasar sungai berkenaan, kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang”.
“Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Menurutnya, seramai 11 anggota termasuk pegawai menjalankan operasi SAR di lokasi kejadian beserta satu jentera dan satu kenderan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Operasi SAR turut dijalankan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta penduduk kampung berhampiran.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.30 pagi kemudian,” tambahnya. – SABAH MEDIA / FOTO JBPM






