Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

‘Malam Budaya Mingguan’ mampu jadi tarikan terbaharu pelancongan Kota Belud

Read Time:1 Minute, 30 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD :  Cadangan mewujudkan Malam Budaya Mingguan di Kota Belud dijangka mampu memperkukuh jenama daerah itu sebagai pusat pelancongan budaya utama di Sabah.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim, berkata inisiatif itu akan menjadi platform tetap untuk mengetengahkan persembahan tradisional, seni muzik etnik dan tarian warisan pelbagai kaum di daerah berkenaan.

Menurut beliau, lokasi strategik Pentas Budaya yang bersebelahan dengan Tamu Mingguan Kota Belud memberi kelebihan besar kerana ia sudah pun menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

“Jika setiap malam minggu kita isi dengan persembahan kebudayaan, pelancong yang datang ke tamu boleh terus menikmati keindahan budaya tempatan.

“Ia bukan sekadar hiburan, tetapi satu cara memelihara identiti dan sejarah masyarakat kita,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada program ‘Bah Nalan Kiti’, anjuran bersama Persatuan Pelancongan Komuniti Tempasuk dan Kementerian Pelancongan Malaysia.

Japlin turut menekankan pentingnya penglibatan generasi muda dalam program kebudayaan supaya mereka memahami nilai warisan sendiri dan meneruskan kesinambungan seni tradisional seperti Nget Biola dan Bertitik.

“Anak muda perlu diberi ruang tampil di pentas budaya. Di situ mereka boleh belajar, bergaul dan membina keyakinan diri sambil memperkukuh rasa bangga terhadap asal usul mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyokong konsep ‘Nalan Kiti’ yang bermaksud berjalan ke keramaian atau memeriahkan majlis, sebagai simbol semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai etnik di Kota Belud termasuk Bajau Sama, Dusun dan Irranun.

Japlin menambah, sinergi antara komuniti tempatan dan pihak berkuasa pelancongan amat penting bagi memastikan program kebudayaan seperti itu dapat dikekalkan secara berterusan dan berimpak ekonomi.

“Pelancongan berasaskan komuniti perlu diangkat ke tahap lebih tinggi. Kita bukan hanya menjual pemandangan indah, tetapi cerita dan jiwa di sebalik setiap budaya,” katanya.

Dengan kekayaan warisan, keunikan muzik tradisional dan keramahan penduduk, Kota Belud diyakini mampu muncul sebagai destinasi pelancongan budaya unggul di Sabah. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE