Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Zara kelihatan takut tetapi tidak menangis digertak “touch-touch” – Saksi

Read Time:3 Minute, 3 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir dilaporkan kelihatan takut namun tidak menangis apabila seorang pelajar senior mengeluarkan kata-kata “Kau ni ah, kalau aku touch kau ni, habis kau” kepadanya.

Menurut peguam kepada ibu Zara, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, saksi kanak-kanak ke-31 yang memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan berkata kata-kata tersebut diucapkan oleh kakaknya sendiri.

“Saksi berkata ayat tersebut cuma gertakan dan kakak saksi tidak ada menyentuh mana-mana pelajar junior. Menurut saksi, maksud “touch touch” ini adalah seperti “dia macam akan pukul orang itu”,” kata Mohd Syarulnizam ketika bercakap kepada media di perkarangan Mahkamah.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada penghujung April 2025 sekitar jam 10 malam.

“Pada ketika itu, Zara datang seorang untuk berjumpa dengan saksi dan kawan saksi, seorang pelajar senior Tingkatan 2 juga. Mereka berjumpa di sebuah bilik dorm.

“Saksi berkata tujuan Zara datang adalah untuk meminta maaf mengenai surat mengandungi kata-kata “body shaming” terhadap kawan saksi. Kata- kata ini merupakan ”Sok-sok orku” yang bermaksud menyindir seseorang yang ’perasaan kuat’,” katanya.

Saksi turut menyatakan bahawa ketika Zara meminta maaf, beliau tidak pasti sama ada Zara sendiri yang menulis surat tersebut, tetapi percaya ada pelajar junior lain yang turut terlibat.

Mohd Syarulnizam berkata, pada masa kejadian, beberapa pelajar senior Tingkatan Empat turut melintasi dorm berkenaan dan bertanya apa yang berlaku.

“Saksi menerangkan tentang surat tersebut dan tujuan Zara meminta maaf. Selepas itu, seorang pelajar senior berteriak memanggil pelajar junior lain yang dikaitkan dengan surat tersebut.

“Saksi nampak pelajar senior Tingkatan 4 menasihati kedua-dua Zara dan pelajar junior tersebut agar tidak mengulangi perbuatan itu,” katanya.

Tidak lama selepas itu, kakak saksi, yang juga pelajar Tingkatan Empat, datang ke tempat kejadian dan bertanya apa yang berlaku.

“Setelah dimaklumkan, kakak saksi mengeluarkan kenyataan kepada Zara“Kau ni ah kalau aku touch kau ni habis kau”. Para pelajar senior lain membawa pelajar senior tersebut keluar untuk sabarkan beliau. Pada ketika itu, saksi nampak Zara kelihatan takut tetapi tidak menangis,” katanya.

Saksi juga menyatakan pada malam itu, keadaan pelajar senior itu ”ok saja” dengan Zara, dan mereka tegur Zara secara baik.

“Saksi berkata dia tidak pernah dengar Zara ada menyindir saksi. Dia juga tidak tahu mengenai tuduhan Zara pernah menulis kata-kata ejekan kepada saksi.

“Saksi berkata selepas kejadian itu, hubungan dia dengan Zara ‘ok saja’ dan Zara ada tersenyum dengan saksi bila mereka berjumpa,” katanya.

Saksi juga bersetuju bahawa pada malam itu terdapat sembilan pelajar senior Tingkatan Dua dan Tingkatan Empat di dalam bilik tersebut bersama Zara dan seorang lagi pelajar junior.

Saksi turut mengakui bahawa ada dalam kalangan pelajar senior Tingkatan Dua yang tidak menyukai Zara, namun beliau tidak mengetahui siapa individu tersebut.

Sementara itu, peguam Joan Goh, yang mewakili salah seorang pelajar yang didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak atas pertuduhan mencela Zara, berkata saksi mengenali Zara kerana mereka belajar di sekolah yang sama.

Walau bagaimanapun, mereka tidak tinggal di dorm yang sama dan saksi tidak mengenali Zara dengan rapat.

“Saksi hanya pernah berjumpa dengan Zara sekali sahaja iaitu pada hujung bulan April 2025, lebih kurang jam 10 malam kerana Zara mahu berjumpa dengan kawan saksi,” katanya.

Joan berkata, kakak saksi ada mengatakan ‘Kau ni ah, kalau aku touch kau ni habis kau’ selepas dimaklumkan tentang surat ‘body shaming’ itu.

“Namun begitu, pada ketika itu kakak saksi tidak menyentuh Zara mahupun kawan Zara. Selepas itu, pelajar-pelajar tingkatan 4 membawa keluar kakak saksi untuk menenangkannya dan meminta mereka semua beredar. Mereka kemudian kembali ke bilik masing-masing. Itu kali terakhir Saksi berjumpa dengan Zara.

“Semasa kejadian tersebut berlaku, terdapat juga rakan-rakan saksi yang lain yang menyaksikan dan mendengar kejadian itu,” katanya.

Prosiding inkues bersambung Isnin.

LEAVE A RESPONSE