Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Penantian 60 tahun berakhir, penduduk Tempasuk 2 miliki geran tanah sendiri

Read Time:1 Minute, 37 Second

Oleh Eviana Mazinal

KOTA BELUD: Penantian lebih enam dekad akhirnya terlerai apabila penduduk Kampung Tempasuk 2 kini menikmati hak milik tanah sendiri hasil usaha gigih penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk, Datuk Arsad Bistari, melalui inisiatif Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS).

Ketua Kampung Tempasuk 2, Zul Guntamas, 53, berkata perjuangan mendapatkan geran tanah itu telah bermula sejak zaman generasi terdahulu, namun terhalang oleh status kawasan yang ketika itu diwartakan sebagai rizab kayu api dan burung.

Zul Guntamas

“Permohonan sudah dibuat sejak zaman datuk nenek kami lagi, tapi kami dimaklumkan tanah ini rizab kerajaan.

“Bila tiba giliran generasi kami, permohonan tetap lambat diluluskan. Mujurlah dengan inisiatif kerajaan Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dan usaha Datuk Arsad, akhirnya hampir 80 peratus penduduk di sini sudah menerima geran masing-masing,” katanya ketika ditemui Sabah Media.

Turut meluahkan rasa syukur ialah Gabiril Gindal, 63, yang kini menarik nafas lega setelah tanah warisan keluarganya diiktiraf secara sah sebagai hak milik mereka.

Gabiril Gindal

“Selama ini saya risau kalau tanah kami diceroboh orang luar sebab tiada dokumen sah. Tapi kini, dengan adanya geran PANTAS, hati saya tenang.

“Terima kasih kepada Datuk Arsad atas usaha beliau memperjuangkan hak kami,” ujarnya dengan nada terharu.

Bagi Jaibin Gembilau, 57, pemberian geran tanah membawa makna tersendiri buat keluarganya.

Jaibin Gembilau

Katanya, nama ketiga-tiga anak perempuannya turut disenaraikan sebagai penama dalam geran tersebut.

“Tanah ini saya anggap sebagai hadiah kasih sayang untuk anak-anak perempuan saya. Dulu isteri saya selalu bimbang kalau saya sudah tiada nanti, anak-anak tidak ada tempat tinggal kerana tiada geran.

“Tapi kini, syukur Alhamdulillah, tanah ini sah milik kami,” katanya dengan senyuman lega.

Program PANTAS yang diperjuangkan oleh Arsad bukan sahaja mengiktiraf hak penduduk terhadap tanah warisan, tetapi juga membuka lembaran baharu bagi komuniti luar bandar untuk menikmati keadilan sosial dan pembangunan seimbang.

Kejayaan ini menjadi bukti nyata bahawa kepimpinan yang prihatin dan berjiwa rakyat mampu mengubah penantian panjang menjadi sebuah kenyataan yang membahagiakan. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE