Read Time:1 Minute, 35 Second
Oleh Normimie Diun
KUALA PENYU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan hanya meletakkan calon yang diyakini boleh menang pada Pilihan Raya Umum akan datang, tanpa sebarang konsep “pinjam-meminjam” calon daripada parti lain.
Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, prinsip itu sudah menjadi ketetapan gabungan berkenaan bagi memastikan kestabilan dan kekuatan politik terus terjamin di Sabah.
“Mana ada pinjam-pinjam dalam politik. Kita akan letakkan calon yang boleh menang dan kita yakin kita boleh menang dalam pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai desas-desus kononnya ada parti lain yang meminjam calon “boleh menang” untuk diletakkan di kawasan tertentu, Hajiji menegaskan bahawa GRS tidak akan mengamalkan pendekatan sedemikian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Daerah Kecil Menumbok, Penyerahan Kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ), Perasmian Masjid Nur Ihsan Menumbok serta Penyampaian Bantuan Yayasan Datuk Limus Jury, di sini hari ini.
Berikutan Pakatan Harapan (PH) akan mengumumkan calon pada Ahad ini, Hajiji sekali lagi memaklumkan pengumuman rasmi senarai calon GRS akan dibuat pada 12 haribulan ini.
“Kita sudah agih kerusi kepada parti-parti komponen (GRS). Kalau mereka (Pakatan Harapan) mahu umum calon mereka, silakan. Kita pula akan umum calon-calon GRS pada 12 haribulan nanti,” katanya.
Dalam majlis sama, Hajiji turut memuji penerbitan Buku Pelan Strategik Pembangunan Daerah Kuala Penyu dan Menumbok, yang disifatkannya sebagai panduan penting untuk pembangunan daerah berkenaan pada masa depan.
“Saya tertarik hati dengan pelan strategik ini. Ia menjadi panduan bagi memajukan Kuala Penyu, termasuk sektor pelancongan dan lain-lain pembangunan,” ujarnya.
Ditanya mengenai calon GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu, Hajiji tersenyum dan memberi bayangan awal.
“Tadi saya sudah bagi hint-hint… kalau kita menang nanti, bermula tahun 2026, kita akan teruskan SMJ 2.0 untuk lima tahun lagi,” katanya berseloroh, sambil mengesahkan penyandang DUN Kuala Penyu, Datuk Limus Jury sebagai calon GRS bagi kawasan berkenaan.






