Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

DAP Sabah umum calon Sabtu ini

Read Time:2 Minute, 9 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: DAP Sabah akan mengumumkan senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah pada Sabtu ini, dengan parti itu dijangka bertanding di lapan kerusi.

Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Chan Foong Hin berkata, dua daripada lapan kerusi berkenaan merupakan kawasan baharu yang akan ditandingi parti itu, termasuk DUN Tanjung Aru dan satu lagi di kawasan pedalaman yang belum diumumkan lokasinya.

“Kita jangka akan bertanding lapan kerusi. Siapa calon itu, tunggulah pengumuman hari Sabtu ini. Satu kerusi baharu ialah Tanjung Aru, manakala satu lagi dari kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Santuni Pekebun Kecil Sawit Daerah Tawau di sini, hari ini.

Foong Hin berkata, enam daripada kerusi tersebut adalah kerusi penyandang, termasuk DUN Sri Tanjung dan Elopura, namun dua kawasan itu akan menyaksikan muka baharu selepas penyandang sebelum ini meninggalkan parti dan menyertai Warisan.

“Muka baharu ini kerana ada tiga kerusi memang kita kena ada muka baharu. Sri Tanjung dan Elopura, dua ADUN kita lompat ke Warisan, jadi mestilah letak calon baharu.

“Selain itu, Tanjung Papat juga akan menampilkan wajah baharu selepas bekas pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Phung, keluar parti,” jelasnya

Menurut beliau, DAP Sabah tetap mengekalkan komitmen terhadap penyertaan wanita dan belia, selaras dengan polisi parti yang menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon terdiri daripada wanita.

“Akan ada wajah baharu, wanita dan belia. Polisi DAP menetapkan sekurang-kurangnya satu pertiga calon adalah wanita, jadi kita akan melebihi satu pertiga,” katanya.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Datuk Frankie Poon, beliau menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan kekuatan DAP Sandakan.

“DAP Sandakan amat terasa, tetapi kemenangan kita di kawasan itu tidak pernah terputus sejak 2013 untuk Parlimen Sandakan, dan sejak 2018 untuk DUN Tanjung Papat dan Elopura.

“Saya rasa ini tidak akan terganggu. Kita sudah bersiap sedia dengan jentera masing-masing,” tegasnya.

Foong Hin turut menolak kemungkinan besar Poon akan menyertai Warisan, namun tidak menolak kemungkinan beliau akan bertanding atas tiket bebas atau menyertai parti lain.

“Saya tidak lihat beliau akan masuk Warisan. Mungkin beliau akan masuk parti lain atau bertanding bebas. Itu hak peribadi beliau. Untuk DAP, kita akan teruskan perjuangan tanpa masalah,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa calon DAP bagi kawasan Tawau pastinya merupakan anak jati tempatan, namun menyerahkan keputusan akhir kepada pimpinan parti.

“Mestilah anak jati Tawau yang akan bertanding di sini. Sama ada saya sendiri bertanding atau tidak, itu bergantung kepada keperluan strategik parti,” katanya.

Chan berkata DAP Sabah optimis untuk memberi saingan kuat di semua kerusi yang ditandingi dan berharap dapat memenangi kesemuanya.

“Itu harapan kita, harap-harap menang semua,” katanya.

LEAVE A RESPONSE