Read Time:1 Minute, 1 Second
Oleh Ahmad Husnayan
TAWAU: Ribut kencang yang melanda daerah ini malam tadi bukan sahaja menyebabkan arca ikonik Tawau tumbang, malah turut mengakibatkan sebuah rumah atas air runtuh di Kampung Hidayat awal pagi tadi, hingga mencederakan seorang lelaki.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian rumah runtuh itu melalui talian MERS999 pada jam 3.11 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama satu jentera FRT digerakkan ke lokasi kejadian dan tiba pada jam 3.18 pagi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah rumah atas air telah runtuh sepenuhnya dan seorang mangsa lelaki dewasa mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat dan terkawal, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.10 pagi,” katanya.
Tinjauan di sekitar bandar Tawau mendapati ribut kencang yang melanda kira-kira jam 11.30 malam tadi turut menyebabkan beberapa struktur ringan rosak, termasuk arca ikonik Tawau di Jalan Traulsen yang tumbang akibat tiupan angin kuat.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang menjalankan kerja pembersihan dan menilai kerosakan di beberapa kawasan terjejas susulan kejadian itu. – SABAH MEDIA






