Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Polis menahan seorang remaja lelaki kerana disyaki merogol seorang gadis bawah umur berusia 15 tahun yang kini disahkan mengandung enam bulan selepas menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik swasta Taman Sawit, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, perkara itu diketahui selepas seorang wanita yang merupakan pengadu mendapati adik angkatnya itu hamil setelah diperiksa di klinik berkenaan.
“Pengadu kemudian dimaklumkan bahawa mangsa telah dibawa oleh teman lelakinya ke sebuah rumah di kawasan Taman Sri Balung dan dirogol,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Jasmin berkata, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah melancarkan operasi di kawasan Bandar Sri Indah.
“Dalam operasi itu, pihak polis berjaya menahan suspek seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang disyaki terlibat dengan kejadian tersebut,” jelasnya.
Menurut beliau, suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan kerana merogol.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan ibu bapa dan ahli keluarga agar sentiasa memantau aktiviti serta pergerakan anak-anak bagi mengelak mereka menjadi mangsa jenayah atau terlibat dalam perbuatan tidak bermoral.
Katanya, keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab bersama antara polis dan masyarakat.






