Read Time:1 Minute, 50 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau II menjadi tumpuan kemeriahan sempena Karnival Sukan Bola Sepak Bonor Celtic Grassroot Cup 9’s (U12) dan Bonor Netball Cup (U12) 2025 yang dianjurkan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Bonor, Sekolah Pedalaman 2 Keningau.
Karnival ini menarik penyertaan 16 pasukan bola sepak dan tujuh pasukan bola jaring dari pelbagai daerah termasuk Keningau, Kota Kinabalu, Tenom, Tambunan, Menumbok, Kota Belud, Kota Marudu, serta Wilayah Persekutuan Labuan.
Acara ini dijalankan mengikut empat kategori bola sepak: Piala Liga Super, Piala Liga Perdana, Piala Liga M3 dan Piala Liga M4, dengan setiap kategori menampilkan empat kumpulan bertanding.
Dalam saingan bola sepak, K3D FC (Keningau) muncul juara Piala Liga Super, diikuti AFJ FC (Kota Kinabalu) sebagai juara Piala Liga Perdana.

Sementara itu, MJ FC (Menumbok) dan SUPERSAGA FC (Kota Kinabalu) masing-masing memenangi Piala Liga M3 dan Piala Liga M4.
Bagi acara bola jaring, pasukan Dynamic dari Sook, Keningau dinobatkan sebagai Johan Bonor Netball Cup 2025 selepas menampilkan aksi mantap dan semangat berpasukan yang tinggi.
Karnival ini dirasmikan oleh Guru Besar SK Bonor, Nazri Hassan, yang menyatakan rasa bangga atas kejayaan sekolah pedalaman menganjurkan kejohanan berskala negeri.
“Penganjuran karnival ini membuktikan bahawa sekolah pedalaman juga mempunyai keupayaan dan semangat setanding dengan sekolah-sekolah di bandar. Kami ingin memberi peluang kepada murid luar bandar untuk bersaing dan menonjolkan bakat mereka,” katanya.
Nazri turut merakamkan penghargaan kepada penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Angin, yang menyumbangkan Google TV 65” kepada SK Bonor dan sekolah-sekolah di Sook, selain menyokong secara tunai bagi menjayakan karnival ini.
Penyelaras karnival, Zaki Nasry, menyifatkan sambutan yang diterima sebagai luar jangka.
“Kami tidak sangka penyertaan begitu ramai dan meriah. Diharapkan karnival ini dapat menjadi platform ‘grassroot’ untuk mencungkil bakat baharu dalam bola sepak dan bola jaring di peringkat akar umbi,” katanya.
Karnival ini turut mendapat sokongan daripada PIBG SK Bonor dan Cinnamon Netball Club, menjadikan penganjurannya lebih tersusun dan berimpak tinggi.
Dengan semangat kesukanan yang membara dan sokongan pelbagai pihak, Karnival Sukan Bonor Celtic Grassroot Cup 9’s dan Bonor Netball Cup 2025 berjaya mencapai objektifnya bukan sekadar sebagai medan pertandingan, tetapi juga wadah memperkukuh perpaduan, bakat, dan keyakinan generasi muda pedalaman Sabah. – SABAH MEDIA






