Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Program CSR FSMP UMS kukuhkan jalinan universiti dan komuniti sekolah di Ranau

Read Time:1 Minute, 23 Second

RANAU :  Seramai 39 pelajar Program Teknologi Makanan, Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menjayakan Program Khidmat Masyarakat (CSR) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mat Salleh, Ranau, baru-baru ini.

Program yang dikendalikan oleh Kelab Teknologi Makanan FSMP itu merupakan inisiatif pertama fakulti berkenaan di luar kampus, dengan objektif utama memperkukuh hubungan antara universiti dan komuniti sekolah.

Menurut kenyataan FSMP, program tersebut bertujuan memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah mengenai bidang sains dan teknologi makanan, selain memupuk minat terhadap bidang pemakanan dan inovasi makanan dalam kalangan remaja.

“Program ini turut melibatkan 15 ahli jawatankuasa pelaksana dan 45 pelajar SMK Mat Salleh yang aktif mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti,” ujar kenyataan itu.

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah demonstrasi pembuatan “Durian Husk Noodle”, sebuah inovasi unik yang memanfaatkan kulit durian sebagai bahan mentah bernilai tambah — sekali gus memperkenalkan konsep kelestarian dan pengurangan sisa makanan kepada peserta.

Selain itu, turut diadakan Pertandingan Cipta Produk Makanan Berasaskan Buah-buahan Tempatan, yang memberi peluang kepada pelajar sekolah menonjolkan kreativiti serta meneroka potensi produk makanan komersial berasaskan sumber tempatan.

Majlis penutupan program disempurnakan oleh Dekan FSMP UMS, Prof. Ts. Dr. Hasmadi Mamat, dan turut dihadiri Pengetua SMK Mat Salleh, Boy @ Syarif Francis, bersama barisan pentadbir, guru dan pelajar sekolah tersebut.

Pihak sekolah turut menzahirkan penghargaan kepada UMS atas inisiatif berkenaan yang bukan sahaja memperkaya pengetahuan pelajar dalam bidang makanan dan pemakanan, malah memupuk semangat kolaborasi antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah menengah.

Untuk rekod, program CSR ini juga menjadi platform penting bagi pelajar UMS mengaplikasikan ilmu teori dalam suasana sebenar, serta memperkukuh kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan melalui interaksi langsung bersama komuniti luar kampus.

LEAVE A RESPONSE